SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. FOTO Sairien Nafis
Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@nstp.com.my


SHAH ALAM: Kemelut tunggakan gaji pasukan bertanding di Liga Malaysia (Liga M) mencecah tahap paling kronik, apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendedahkan menerima 262 kes - sekaligus meletakkan Malaysia selaku ‘juara’ benua Asia.

Jumlah itu mungkin lebih banyak jika ditambah dengan dakwaan kes tunggakan lain yang belum dipanjangkan ke FAM, khususnya di peringkat Jawatankuasa Status atau pun Jawatankuasa Tatatertib.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, jumlah itu membabitkan antara lapan hingga 10 pasukan yang beraksi pada saingan liga tahun ini.

Bakinya atau dan lebih 60 peratus daripada jumlah kes adalah membabitkan isu pasukan Hanelang FC, Terengganu City FC (TCFC), Kuantan FA dan Marcerra United.

"Sebanyak 262 kes dan jumlah itu adalah yang paling tinggi di Asia," katanya ketika ditemui pada majlis perkhawinan anak lelaki Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin di Shah Alam, hari ini.

Ketika ini, Perlis yang berbelanja besar juga sedang dihimpit isu tunggakan gaji bekas pemain.

Namun, Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie menegaskan mereka tidak pernah lepas tangan menangani pelbagai isu termasuk tunggakan gaji seperti yang dibangkitkan 18 pemain Perlis Northern Lions 2 (PNL 2) ketika ini.

Bagi mengurangkan jumlah kes itu, FAM tampil dengan inisiatif menahan geran tahunan pasukan dan 'menyimpan' duit deposit pasukan atau sebarang subsidi untuk dijadikan sebagai cagaran menyelesaikan tunggakan gaji.

Stuart berkata, langkah itu bagi memastikan tiada lagi masalah tunggakan gaji berlaku pada masa akan datang.

Pada masa sama, semua pasukan terbabit diberi tempoh sehingga pertengahan Februari ini untuk mengemakini sebarang pembayaran tunggakan yang sudah diselesaikan.

"Keputusan untuk sekat (geran) sudah dibuat. Kita bagi masa untuk semua pasukan sehingga ke pertengahan Februari untuk kemaskini kepada kami sama ada sudah buat bayaran atau tidak.

“Kalau tidak ada bayaran, ia (geran) akan disekat sebagai cagaran kepada gaji tertunggak itu.

"Persetujuan bersama MFL dan FAM adalah untuk menjelaskan hutang semua pasukan setakat mana yang termampu. Sepatutnya ini bukan kerja kita (FAM) tetapi ia terpaksa dilakukan.

"Sebagai contoh, kalau duit yang ada (cagaran) tidak cukup untuk bayar jumlah sebenar tunggakan, kita akan bayar sama rata untuk berlaku adil.

“Mungkin ada yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat bayaran penuh, tetapi itu adalah langkah pertama kami untuk membantu pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 7:32 PM