LAPORAN Harian Metro mengenai penderitaan pemain TCFC akibat tidak dibayar gaji termasuk dihalau dari rumah sewa serta menyambut kelahiran anak dalam keadaan pokai.
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


KUALA TERENGGANU: “Kami boleh jelaskan semua tunggakan gaji pemain dan jurulatih TCFC (Terengganu City FC) berjumlah lebih RM900,000, tetapi dengan syarat pengurusan lama kelab mesti memberi kuasa penuh kepada pengurusan baharu.

“FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) perlu memberi peluang kepada TCFC beraksi di Liga Perdana musim ini kerana kami layak secara automatik,” kata Pengurus TCFC, M Rezal Abu Bakar kepada Sukan NSTP.

Beliau berkata demikian selepas bekas pemain skuad itu menuntut tunggakan gaji selama empat bulan bermula Julai hingga Oktober 2018, manakala barisan jurulatih menuntut gaji mereka bermula Julai 2018 hingga Disember lalu.

M Rezal menegaskan, pihaknya tiada masalah untuk melunaskan tunggakan gaji itu, tetapi pada masa sama berharap FAM memanggil pengurusan kelab itu untuk perbincangan lebih lanjut.

“Kami tidak berniat untuk menganiaya bekas pemain dan jurulatih, tetapi kami (pengurusan baharu) yang mengambil alih kelab itu sejak awal 2018 tidak diberikan kuasa penuh oleh pengurusan lama.

“Jadi, bagaimana kami mahu menguruskan kelab itu secara maksimum, sedangkan sebelum ini pengurusan lama sudah menyerahkan kelab itu kepada barisan pengurusan baharu dan kami sudah berbelanja jutaan ringgit.

“Kami sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan lama berkenaan berkaitan isu itu, tetapi sehingga kini, tidak ada kata putus menyebabkan pemain menjadi mangsa,” katanya.

Sebelum ini, Sukan NSTP melaporkan bekas pemain kelab itu terpaksa mengharungi cabaran getir meneruskan kehidupan kerana tidak menerima tunggakan gaji, malah wang menjuarai Piala FAM musim lalu, bonus, bayaran sewa rumah belum diterima sehingga ke hari ini.

November tahun lalu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 'mengharamkan’ TCFC beraksi di Liga Perdana kerana gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan jurulatih selepas tempoh bertenang’ tamat.

Berita berkaitan

'Pokai' sambut anak

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 4:42 PM