MBAPPE jaring hatrik ketika PSG membelasah Guingamp. -Foto REUTERS

PARIS: Kylian Mbappe dan Edinson Cavani masing-masing menjaringkan hatrik buat Paris Saint-Germain apabila mencatat kemenangan terbesar di laman sendiri dengan membenam Guingamp 9-1 dalam saingan Ligue 1, awal pagi ini.

Pendahulu liga itu seperti melepaskan geram ke atas Guingamp selepas pasukan tercorot liga itu menghampakan hasrat PSG merangkul trofi Piala Liga keenam berturut-turut awal bulan ini di Paris.

Kemenangan itu yang terbesar buat PSG di Parc des Princes, menewaskan Dijon 8-0, 12 bulan lalu dan hampir mengatasi rekod kemenangan terbesar mereka secara keseluruhan – 10-0 dalam saingan Piala Perancis menewaskan Cote Chaude pada tahun 1994.

Kelab itu yang mendahului kedudukan teratas liga dengan perbezaan 13 mata di hadapan Lille dengan  baki dua perlawanan hanya kehilangan empat mata dalam 19 perlawanan pertama musim ini apabila mereka menyasarkan untuk mengharungi kempen tanpa kekalahan.


CAVANI (kanan) meraikan jaringannya ketika mengalahkan Guingamp. -Foto AFP

Neymar menjaringkan dua gol buat PSG bagi mengumpul keseluruhan 58 gol musim ini, sementara Mbappe turut mengukuhkan reputasinya dalam carta jaringan Ligue1 apabila menyumbat 17 gol dalam hanya 14 penampilan.

Jurulatih, Thomas Tuchel menggambarkan situasi Marco Veratti yang terpaksa keluar padang disebabkan ‘kecederaan serius’ dengan jurulatih itu bimbang dengan ketiadaannya menentang Manchester United dalam saingan Liga Juara-Juara pada pusingan 16 terakhir bulan hadapan.

“Ada kemungkinan dia terpaksa dipinggirkan untuk beberapa minggu,” katanya. “Kecederaan Marco mengubah segala-galanya. Bermain tanpa Marco adalah sangat berbeza, saya rasa ia adalah serius dan sukar.” – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 8:41 AM