FATIN NURFATEHAH MAT SALLEH
Aida Adilah Mat
aida_adilah@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Kontrak baharu yang ditawarkan Majlis Sukan Negara (MSN) hanya kepada sebahagian atlet nyata mengejutkan sehingga ada segelintir daripada mereka mengambil tindakan drastik meletak jawatan.

Tempias itu turut dirasai atlet memanah negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh yang menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung isu itu.

“Saya pohon, hargailah kami sebagai atlet. Hargai apa yang kami lakukan selama ini.

“Timbanglah apa yang saya dan rakan-rakan lain sumbangkan selama ini kepada negara. Semua yang kami buat adalah untuk mengharumkan nama negara,” katanya.

Faktor pemotongan elaun dikatakan menjadi punca trio memanah compound - Mohd Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip menghantar surat meletak jawatan sebagai atlet kebangsaan.

Kata Fatin yang pernah bergelar juara dunia pada 2015, menerusi kontrak ditawarkan, ada kalangan atlet yang sebelum ini menerima elaun RM3,000 dan RM2,000 akan dipotong menjadi RM500 dan MSN menggunakan alasan status sebagai atlet separuh masa dan bukannya atlet sepenuh masa sebagai alasan pemotongan.

“Kami semua berjuang untuk negara. Berlatih sama seperti atlet sepenuh masa, cuma status kami adalah kerana kami tidak berada di MSN saja.

“Seperti saya, belajar di USM (Universiti Sains Malaysia) saya hanya ditawarkan status atlet separuh masa. Mana mungkin dengan status sebagai pelajar dan atlet dapat mengikut jadual sepenuhnya daripada MSN.

“Saya pasti atlet yang berada di MSN pun belajar juga. Keluar ke kelas dan berlatih pagi dan petang, sama juga seperti saya berlatih pagi dan petang, tapi pemberian elaun pula sama seperti saya ini atlet baru,” katanya.

Katanya, ketika rakan lain mengambil keputusan melepaskan status sebagai atlet kebangsaan, dia masih lagi mahu bergelar atlet kerana sokongan keluarga.

“Berat untuk menerima semua ini. Tapi kerana keluarga saya masih di sini. Ibu bapa saya mengatakan bukan untuk wang ringgit tetapi maruah negara lebih utama,” katanya.

Tegas Fatin, perkara itu sudah diusulkan kepada Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) bagi dibawa kepada MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 6:46 PM