Mohd Yusoff Mahadi ketika ditemui media pada majlis merasmikan logo baru Malaysian Football League (MFL) di The Sujana Subang, hari ini. FOTO Zunnur Al Shafiq.
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyelar tindakan segelintir pemain Perlis yang cuba memburuk-burukkan imej persatuan bola sepak negeri itu yang kini dalam fasa perubahan selepas kepimpinan baharu mengambil alih Oktober lalu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, isu tunggakan gaji yang cuba ‘dimainkan’ oleh pemain dari Piala FAM itu sebenarnya sudah diperjelaskan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang bersedia memotong geran tahunan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sekiranya mereka gagal melunaskan tunggakan dalam tempoh 60 hari bermula 28 Disember lalu.

Katanya, PFA juga bersetuju dengan syarat MFL itu dan sekiranya PFA gagal, gaji mereka akan dibayar menerusi geran itu.

“Bagi saya, ini cubaan pihak tertentu yang mahu memburukkan imej PFA, sedangkan mereka tahu PFA ketika ini dipimpin oleh presiden baharu.

“Sudah tentu PFA perlukan masa untuk mengubah struktur dan sistem persatuan termasuk cuba menyelesaikan tunggakan gaji pemain. Malah, FAM dan MFL sendiri bukan senang-senang membenarkan Perlis bermain di Liga Perdana sekiranya mereka tidak mempunyai sumber kewangan kukuh untuk mengharungi kempen liga musim ini.

“Seperti yang sudah diterangkan oleh MFL sebelum ini, kalau PFA gagal selesaikan isu gaji hingga tempoh yang diberikan, geran RM1 juta yang diperuntukkan kepada pasukan akan dipotong dan dibayar kepada pemain.

“Jadi saya mohon mereka bersabar dan beri masa kepada PFA. Sebab tindakan mereka bukan saja merosakkan imej PFA, malah memberi kesan kepada MFL dan FAM sebagai badan pentadbir liga dan bola sepak negara,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran logo baharu MFL, hari ini.

Menerusi pendedahan Sukan NSTP sejak kelmarin, sebahagian 18 pemain Perlis yang beraksi dalam saingan Piala FAM musim lalu mendakwa tidak menerima tunggakan gaji seperti dijanjikan PFA hingga mereka terpaksa melakukan pekerjaan lain seperti nelayan dan menjual burger untuk menyara hidup.

Susulan pendedahan kumpulan pemain itu, isu pemilihan Perlis yang dinaikkan ke Liga Perdana juga turut dibangkitkan.

“Itulah saya katakan tadi, isu ini seolah-olah sengaja dibangkitkan untuk memburukkan imej PFA, MFL dan FAM.

“Pemilihan Perlis dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk kekuatan kewangan pasukan. Kami tidak semewang-mewenangnya membenarkan pasukan yang tidak mempunyai kekuatan sumber kewangan untuk bersaing di Liga Perdana.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 5:13 PM