KARIM menyelar tindakan tidak profesional Irfan. FOTO/NSTP
Aida Adilah Mat 
aida_adilah@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim menyelar tindakan tidak profesional atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin yang membuat kenyataan melulu di laman sosial Instagramnya. 

Karim menerusi satu kenyataan menyifatkan tindakan Irfan melepaskan kemarahan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bukanlah satu tindakan tepat kerana keputusan dicapai membabitkan KOM sendiri dan tidak membabitkan keputusan menteri. 

Katanya, isu membabitkan Irfan membabitkan keputusan yang sudah dicapai antara KOM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga Majlis Olimpik Malaysia (MOM). 

"Bagi kes membabitkan Irfan, ia keputusan diambil dalam mesyuarat jawatankuasa kerja olahraga bersama KOM, MSN, MOM dan ISN (Institut Sukan Negara). 

"Permintaannya untuk berlatih di Republik Czech terpaksa ditolak kerana tidak praktikal selain kekurangan maklumat tentang tempat dan kepakaran latihan di sana. 

"Tapi KOM menghormati kesungguhan Irfan untuk mempersiapkan dirinya sementara mendapat jurulatih baru dan KOM mengizinkan mana-mana atlet yang mempunyai perancangan sendiri untuk berlatih di luar negara boleh melakukannya dengan syarat menanggung sendiri program itu," kata Karim. 

Karim menegaskan setiap calon jurulatih perlu diteliti dan diperhalusi kerana sebarang jurulatih yang dipilih oleh atlet bukanlah sepatutnya dilantik sebagai jurulatih peribadi tetapi harus juga mampu mengendalikan program latihan acara lontaran kepada atlet yang lain khususnya atlet pelapis.

"Perlu diingat, adalah tidak wajar untuk melantik jurulatih peribadi yang memberi kelebihan kepada seseorang atlet saja. Sepatutnya kepakaran yang ada perlu dikongsikan bersama atlet yang lain. 

"Ini program untuk jangka masa panjang sekurang-kurangnya sehingga menjelang Sukan Asia 2022," katanya. 

Namun hasrat untuk KOM berbincang lebih lanjut bersama Irfan tidak kesampaian apabila atlet yang pernah meraih pingat perak di Kejohanan Trek dan Padang Asia di di Bhubaneswar, India pada 2017 melakukan tindakan tanpa berbincang terlebih dahulu. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 1:33 PM