PEMAIN Derby meraikan kejayaan selepas menewaskan Southampton dalam penentuan penalti. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pasukan bergelut Liga Perdana Inggeris, Southampton terus ditimpa malang apabila disingkirkan daripada saingan Piala FA oleh kelab Liga Kejuaraan, Derby dalam penentuan penalti awal pagi tadi.

Dalam aksi ulangan pusingan ketiga yang dibayangi keputusan kontroversi terkini penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR), skuad kendalian Ralph Hasenhuttl mensia-siakan kelebihan dua gol di St Mary.

Perlawanan itu berakhir 2-2 selepas masa tambahan dan Derby menang 5-3 dalam penentuan penalti.

“Ia disudahi dengan penalti-penalti yang hebat dan keberanian cukup tinggi. Saya amat bangga dengan mereka,” kata pengendali Derby Frank Lampard.

“Ia memerlukan semangat juang yang tinggi untuk bangkit menentang lawan dari Liga Perdana Inggeris dan menunjukkan keberanian ketika mengawal bola. Saya rasa kami cukup cemerlang dalam perlawanan ini.”


PEMAIN Soton sugul selepas tewas kepada Derby. FOTO/AFP

Selepas Southampton terselamat daripada ketinggalan berikutan VAR menafikan jaringan Craig Bryson untuk Derby di babak pertama, Saints mendahului permainan menerusi tandukan Stuart Armstrong pada minit ke-68.

Nathan Redmond menambah jaringan dua minit kemudian untuk meletakkan Southampton di hadapan dengan kelebihan dua gol. Kedua-dua gol Southampton turut dirujuk kepada VAR tetapi drama dengan teknologi itu tidak berterusan.

Derby merapatkan jurang ketika permainan berbaki 14 minit apabila sepakan percuma Harry Wilson terus masuk ke gawang dan diterima VAR walaupun Southampton mendakwa beberapa pemain Rams berada dalam kedudukan ofsaid.


PEMAIN Derby County, Martyn Waghorn menjaringkan gol kedua. FOTO/REUTERS

Enam minit kemudian, Martyn Waghorn menanduk masuk gol penyamaan Derby hasil hantaran lintang Wilson untuk mengheret permainan ke masa tambahan.

Pada perlawanan pertama di Pride Park, Derby turut ketinggalan dua gol sebelum bangkit menyamakan kedudukan 2-2.

Derby akan berdepan kelab divisyen tiga Accrington pada pusingan keempat, manakala Southampton, satu mata di atas kelompok tiga tercorot liga, perlu berjuang mengelak penyingkiran selepas kempen Piala FA berakhir.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 12:14 PM