Laporan akhbar hari ini.
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my

 

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menafikan akan mengambil tindakan menyekat geran tahunan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tanpa meminta sebarang penjelasan daripada persatuan itu.

Ia susulan isu KLFA yang didakwa tidak membayar gaji pemain selama dua bulan selepas pendedahan bekas pemain The City Boys, Syazwan Andik Ishak.

Sebaliknya, MFL dalam kenyataan hari ini menegaskan badan pengelola Liga M itu menuntut penjelasan terperinci daripada KLFA sebelum kes berkenaan di bawa ke Ahli Lembaga Pengarah.

"Merujuk laporan akhbar tempatan bertajuk ‘Selidik dulu’ bertarikh 15 Januari 2019 (hari ini), MFL menafikan kenyataan dikeluarkan Naib Presiden KLFA, Datuk Kamarudin Hassan.

"Kamarudin dalam artikel itu menyatakan bahawa MFL bersedia mengambil tindakan dengan menyekat geran tahunan KLFA tanpa meminta sebarang penjelasan daripada pihak mereka.

"Bagaimanapun MFL sudah mengeluarkan kenyataan yang dikeluarkan dalam satu laporan akhbar tempatan bertajuk ‘KLFA berdepan pemotongan geran’ bertarikh 14 Januari 2019.

"Dalam laporan itu, MFL menuntut penjelasan terperinci daripada KLFA sebelum kes berkenaan dibawa ke Ahli Lembaga Pengarah untuk mengambil tindakan termasuk menyekat pemberian geran tahunan sebagai cagaran bagi mereka melangsaikan sebarang tunggakan," jelas kenyataan itu.

Sukan NSTP hari ini melaporkan Kamarudin berharap MFL tidak terburu-buru dalam mengambil tindakan menyekat geran tahunan KLFA susulan masalah tunggakan gaji yang dialami persatuan itu.

Dalam laporan itu juga Kamarudin meminta MFL mendapatkan penjelasan daripada KLFA terlebih dulu selain perlu bersikap lebih adil dengan melihat pasukan lain yang turut berdepan masalah gaji dan tidak hanya fokus kepada KLFA.

Menerusi kenyataan sama, MFL turut menjelaskan mereka sentiasa konsisten dengan keputusan yang diambil sepanjang dua tahun ini dalam mengenakan denda dan memotong mata pasukan yang melanggar peraturan yang ditetapkan dalam Liga Malaysia.

"Malah bagi pendaftaran pasukan musim ini juga, MFL sudah mengumumkan untuk menyekat pembayaran geran tahunan kepada pasukan baharu Liga Perdana, Perlis selagi belum menjelaskan tunggakan gaji dalam tempoh 60 hari daripada tarikh yang ditetapkan hanya selepas mendapat penjelasan daripada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA)," jelas MFL.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 10:33 PM