PEMAIN Manchester United, Paul Pogba. FOTO AFP
AFP

LONDON: Bintang tengah Perancis, Paul Pogba berkata kehadiran Ole Gunnar Solskjaer selaku pengurus sementara Manchester United bukan saja mengembalikan prestasinya, malah membuatkannya kembali mengukir senyuman.

Pemain berusia 26 tahun itu - yang menjadi antara tonggak kejayaan Perancis menjulang Piala Dunia tahun lalu - mula menonjolkan kemampuan sebenarnya sejak ketibaan Solskjaer bulan lalu bagi menggantikan Jose Mourinho yang dipecat.

Hubungan Pogba yang dibeli United dengan nilai mega AS$114.5 juta (RM469.76 juta) pada 2016 dengan Mourinho jelas menjadi ‘toksin’ kepada pasukan musim ini apabila dia sering mendapati dirinya menduduki bangku simpanan.

“Sebelum jurulatih (Solskjaer) tiba, saya berada dalam bayang-bayang, kerap berada di bangku simpanan tapi saya menerimanya,” kata Pogba. “Sesuatu yang menyenangkan untuk kembali bermain. Kini saya sentiasa tersenyum.”

Akhbar Britain, The Sun melaporkan Solskjaer menjadi pilihan utama untuk memegang jawatan secara tetap selepas beliau berjaya mengagumkan lembaga pengarah kelab dan mendapat sokongan penuh pemain. Sejak ketibaannya, United menang enam daripada enam perlawanan diharungi.

Pogba yang dikaitkan dengan perpindahan jika Mourinho kekal berkata banyak masalah dapat diselesaikan sejak kehadiran Solskjaer kerana beliau adalah bekas pemain dan pernah menjadi staf kejurulatihan kelab berkenaan. 

Ketika penampilan pertama Pogba di United pada 2010, Solskjaer dalam peralihan sebagai pemain untuk menjadi jurulatih pasukan simpanan.

“Sesuatu yang menggembirakan untuk kembali bersamanya,” kata Pogba. “Saya mengenalinya sejak daripada zaman akademi dan juga pemain simpanan, apabila nama jolokannya adalah 'Supersub'.

“Dia benar-benar melakukan kerja yang hebat. Sebagai pemain, dia mengetahui mentaliti kelab ini. Dia kembali untuk membantu kami dan segala-galanya kini berjalan dengan amat baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 8:09 PM