HENRY kini kendali Monaco. FOTO/AGENSI
AFP

PARIS: Thierry Henry bakal membuat perhitungan dengan bekas rakan sepasukan di Arsenal dan Perancis, Patrick Vieira apabila Monaco melayan kunjungan Nice, dalam pertembungan aksi Ligue 1, minggu ini.

Kini, kedua-dua anggota skuad juara Piala Dunia Perancis 1998 itu mengemudi pasukan masing-masing dan sepatutnya bertembung buat pertama kali pada 7 Disember lalu, namun perlawanan ditangguhkan akibat krisis politik di Paris.

Sejak mengambil alih tugas di Stade Louis II, Henry hanya menang dua daripada 10 aksi liga - ketika Monaco sedang mencari jalan keluar daripada kelompok dua terbawah dan empat mata dipisahkan dengan zon selamat.

Juara Perancis 2017 itu melakukan penambahbaikan dengan membawa masuk pemain baharu, - Cesc Fabregas, Naldo dan Fode Ballo-Toure pada jendela perpindahan pemain Januari dan meraih keputusan 1-1 menentang Marseille, Ahad lalu.


VIERA memimpin Nice. FOTO/AGENSI

"Fabregas semakin baik sejak diturunkan,” kata Henry ketika pemain Sepanyol itu melakukan penampilan pertamanya bersama Monaco.

"Dia berjaya menerap corak permainan pasukan dan bijak membaca pergerakan rakan sepasukan. Kami mampu menamatkan saingan dengan lebih baik dan kini kami berada di landasan yang betul.

"Kami perlu bertindak balas dan kami berjaya melakukannya. Keputusan seri itu boleh menjadi keputusan yang baik, tetapi jika kami menang, itu lebih baik. Kini, kami mesti teruskan rentak dan tingkatkan prestasi.

Pemain tengah berpengalaman, William Vainqueur juga menyertai kelab secara pinjaman dari Antalyaspor.

Bagaimanapun, tiada seorang pun pemain baharu Monaco akan beraksi menentang Nice, kerana nama mereka tidak didaftarkan pada senarai perlawanan asal sebelum jendela perpindahan pemain dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 10:50 AM