BENZEMA (tengah) patah jari tangan ketika menentang Real Betis. -Foto Reuters
Reuters

MADRID: Real Madrid memperoleh khabar buruk berganda apabila penyerangnya, Karim Benzema disahkan patah jari tangan manakala pertahanan Jesus Vallejo dipalit kecederaan hamstring ketika sesi latihan, semalam.

Penyerang kelahiran Perancis, Benzema mengadu kesakitan ketika Real meraih kemenangan 2-1 ke atas Real Betis, minggu lalu dan dibawa keluar pada rehat babak pertama.

Laporan media Sepanyol menyatakan dia mungkin terpaksa diketepikan selama tiga minggu.

“Dia (Benzema) didiagnosis mengalami patah jari pada tangan kanannya,” kata Real dalam satu kenyataan. “Situasi pemain akan terus dipantau.”

Vallejo dalam pada itu meninggalkan sesi latihan, semalam dengan tangisan, lapor akhbar Madrid, AS.

Pemain berusia 22 tahun itu hanya beraksi dalam dua perlawanan musim ini berikutan beberapa siri masalah fizikal dan ini adalah kecederaan keempat buatnya.

Benzema dan Vallejo menyertai senarai panjang pemain Real yang tercedera termasuk Gareth Bale, Toni Kroos, Thibaut Courtois, Marcos Llorente, Marco Asensio dan Mariano Diaz.

Real yang menghuni tangga keempat La Liga dijadual bertemu Leganes, Khamis ini di peringkat 16 terakhir Piala Raja Sepanyol sebelum menemui kelab tangga ketiga, Sevilla pada Sabtu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 1:20 AM