KAMARUDIN Hassan. FOTO NSTP/Azhar Ramli.
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) berharap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak terburu-buru dalam mengambil tindakan menyekat geran tahunan persatuan itu.

Ia susulan masalah tunggakan gaji dihadapi KLFA ketika ini dan isu berkenaan juga didakwa menjadi punca pemain pertahanan, Syazwan Andik Ishak meninggalkan The City Boys sebelum kembali ke Johor Darul Ta'zim (JDT).

Naib Presiden KLFA, Datuk Kamarudin Hassan menjelaskan pihaknya tiada masalah memberi penjelasan lebih terperinci kepada MFL berhubung kelewatan dalam membayar gaji pemain.

Malah, beliau berkata badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu juga perlu bertindak adil dengan melihat pasukan lain yang turut berdepan masalah tunggakan gaji dan tidak hanya fokus kepada KLFA saja.

"Tunggakan gaji itu memang KLFA akan selesaikan dan presiden pun sedang berusaha untuk lunaskan, cuma cepat atau lambat saja. Kita juga sedia memberi penjelasan kepada MFL.

"Tapi MFL tidak boleh terus nak ambil tindakan. Jangan bila jadi (kes) macam itu terus nak potong (sekat geran tahuan). Sepatutnya guna budi bicara, semak dulu, datang jumpa KLFA dan tanya apa masalah sebenarnya.

"Betul pemain kata dua bulan tak bayar gaji, itu kita tak nafikan. Tapi cuba semak juga berapa persatuan lain yang tak bayar gaji kepada pemain, jangan tuju kepada KLFA saja," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

"Adakah hanya KLFA yang tak bayar gaji lagi? Malah, dalam tempoh setahun dua ini KLFA tiada masalah bayar gaji, kita bayar ikut masa, cuma hujung tahun ini saja kita lewat sikit."

Menerusi laporan akhbar semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menjelaskan pihaknya berhak menyekat pemberian geran tahunan kepada KLFA selaku pasukan Liga Super sebagai cagaran untuk mereka melangsaikan segala hutang tertunggak.

Ditanya mengenai tindakan Syazwan meninggalkan skuad The City Boys, Kamarudin berkata pihaknya perlu menerima hakikat itu namun tetap berbangga dapat menggilap semula bakal pemain muda itu hingga menjadi buruan pasukan Liga M.

"Syazwan datang daripada JDT II pada 2017 sebelum menyertai Kuala Lumpur, jadi maknanya kita ambil masa setahun untuk gilap dia hingga mendapat perhatian semula dari JDT.

"Jadi kita tetap berbangga kerana ia membuktikan KLFA berjaya menaikkan semula nama dia selaku pemain muda yang berpotensi sepanjang bersama Kuala Lumpur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 11:32 PM