FABREGAS (dua dari kanan) ketika cuba memasuki kawasan pertahanan Marseille. FOTO/AFP
AFP

MARSEILLE: Cesc Fabregas bermula positif pada penampilan sulungnya bersama kelab bergelut Ligue 1, Monaco yang bangkit meraih keputusan seri 1-1 bertemu Marseille di Stade Velodrome.

Fabregas, yang menyertai Monaco dari Chelsea Jumaat lalu, menjadi nadi di bahagian tengah ketika membantu skuad kendalian Thierry Henry itu bangkit daripada permulaan hambar untuk mengutip satu mata hasil gol penyamaan Youri Tielemans enam minit sebelum rehat.

Pemenang Piala Dunia itu juga turut mengumpan peluang keemasan buat Tielemans meledak gol kemenangan dalam masa kecederaan tetapi pemain Belgium itu gagal menepati sasaran.

Ketibaan Fabregas di perairan Mediterranean Jumaat lalu adalah yang ketiga bulan ini selepas pertahanan veteran Naldo dan bek kiri bawah 21 tahun Perancis Fode Ballo-Toure, yang turut menyesuaikan diri dengan baik pada perlawanan itu.

Keputusan seri itu cukup baik buat pasukan yang tidak mempunyai penyerang cergas dan cukup pemain untuk memenuhi bangku simpanan.

Mereka kekal dalam zon penyingkiran dan ketinggalan empat mata di bawah garis selamat selepas hanya menangi dua kali dalam 10 perlawanan liga sejak kedatangan Henry pada Oktober.

Dalam perlawanan lain, Montpellier terus tercicir dalam pemburuan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan selepas seri 1-1 menentang pasukan ketiga tercorot, Dijon, manakala Strasbourg mengukuhkan kelayakan ke pentas Eropah dengan kemenangan 2-1 di Toulouse.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 8:59 AM