AZMOUN (tengah) ketika menjaringkan gol menentang Vietnam. FOTO/AFP
AFP

ABU DHABI: Sardar Azmoun yang kembali daripada persaraan mengemudi Iran ke peringkat kalah mati Piala Asia awal pagi tadi ketika pasukan kendalian Carlos Queiroz itu disertai musuh tradisi Iraq dan bekas juara Arab Saudi ke pusingan 16 terakhir.

Azmoun, 24, bersara daripada pasukan kebangsaan selepas penyokong mengkritiknya susulan kegagalan Iran pada Piala Dunia tahun lalu, namun dia kembali menjadi tonggak utama dengan dua gol ketika menang 2-0 ke atas Vietnam.

Arab Saudi, seperti Iran juga juara Asia tiga kali, menundukkan Lubnan 2-0 manakala pemain muda Mohanad Ali mencetus inspirasi buat juara 2007, Iraq ketika mengalahkan Yaman 3-0.

Iran, Iraq dan Arab Saudi, dengan tujuh gelaran dalam kalangan mereka, menyertai pasukan yang sudah layak ke pusingan kedua Korea Selatan, China dan Jepun.

Queiroz memuji Azmoun selepas dua gol penyerang Rubin Kazan itu menjadikannya penjaring gol terbanyak kejohanan dengan tiga gol, sekali gus mencipta rekod Iran sembilan kemenangan berturut-turut pada pusingan pertama.

“Dia seorang peledak mengagumkan,” kata pengendali dari Portugal itu, kini mengharungi tahun kelapan sebagai jurulatih Iran.

“Kami bergantung harap kepadanya dalam pertandingan ini. Namun cara pasukan memberikan sumbangan terhadapnya dan gerakan kami dalam kawasan lawan amat menarik.”

Iran, yang mahu menamatkan kemarau 43 tahun sejak memenangi kejuaraan terbesar bola sepak Asia, patut menjaringkan empat atau lima gol tetapi penyudah lemah mengecewakan mereka di Abu Dhabi.

Di Sharjah, Ali yang berusia 18 tahun menyumbat gol solo menakjubkan untuk membantu Iraq mendahului selepas 11 minit sebelum Bashar Resan menambah gol kedua pada pertengahan babak pertama selain gol Alaa Abbas pada masa kecederaan.

Arab Saudi turut mengekalkan rekod sempurna apabila menewaskan Lubnan 2-0 menerusi gol Fahad Al-Muwallad selepas 12 minit dan Hussain Al-Moqahwi pada minit ke-67.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 9:53 AM