PERTAHANAN Newcastle Jamaal Lascelles mengasari pemain tengah Chelsea, N'Golo Kante. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Chelsea mengukuhkan cengkaman mereka di tangga keempat Liga Perdana Inggeris ketika jaringan menakjubkan Willian memastikan kemenangan 2-1 ke atas pasukan bermasalah Newcastle, awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Maurizio Sarri mendahului menerusi gol awal Pedro pada minit kesembilan namun Ciaran Clark meraih gol penyamaan yang mengejutkan lima minit sebelum rehat.

Ketika penyokong Chelsea mula hilang sabar dengan prestasi terumbang-ambing pasukan mereka di laman sendiri akhir-akhir ini, Willian melegakan mereka dengan sepakan lencong mengagumkan pada minit ke-57.

Chelsea menang lima daripada tujuh aksi liga terakhir mereka dan menghuni enam mata di depan pasukan tangga keempat Arsenal, yang tewas di tangan West Ham malam tadi.


PEMAIN tengah Chelsea Eden Hazard (kiri) cuba mengawal bola. FOTO/AFP

Namun ketika Sarri pasti lega melihat Chelsea kembali menguasai saingan untuk layak ke Liga Juara-Juara, ia bukannya persembahan meyakinkan sekali gus menimbulkan persoalan baru mengenai taktik bekas pengurus Napoli itu.

Bergelut untuk menewaskan pasukan ketiga tercorot Newcastle membuktikan betapa Chelsea berdepan laluan berliku untuk merapatkan jurang dengan pendahulu Liverpool dan juara bertahan Manchester City.

Newcastle mendapati mereka berada di zon penyingkiran susulan kemenangan buat Southampton dan Burnley dan musim sejuk yang menyukarkan buat Magpies.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 7:27 AM