MUHD Shaqeem tewaskan Jhy Dar.
ArenaHM

CYBERJAYA: Kelab Badminton (BC) Serdang kembali menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan akhir Purple League (SSPL) 2018/19 selepas menewaskan Bandar Maharani BC 12-4 dalam perlawanan peringkat kedua saingan Kumpulan A di Gem In Mall, hari ini.

Kemenangan itu cukup penting buat Serdang BC bagi mengukuhkan kedudukan mereka di tangga keenam.

"Ya, kemenangan ini adalah baik untuk kami kerana memperoleh 12 mata. Ini petanda positif di permulaan peringkat kedua SSPL dan baki satu lagi perlawanan kami akan terus cuba meraih mata biarpun menentang lawan agak kuat.

“Kami pernah menewaskan mereka (Petaling BC) sebelum ini biarpun tidak siapa jangka kami akan memenangi perlawanan berkenaan.

“Seperti biasa, saya akan terus menggunakan pemain-pemain muda untuk mencipta kejutan kerana kami adalah ‘underdog’,” kata pengurus Serdang BC, Ong Ewe Hock.

Dalam perlawanan hari ini, saingan perseorangan lelaki dikuasai Serdang BC apabila pemain muda mereka, Muhd Shaqeem Eiman Shahyar menang 3-1 (11-7, 11-7, 4-11, 11-10) ke atas Ooi Jhy Dar.

Pemain perseorangan wanita Serdang BC, Lyanny Alessandra Mainaky menjarakkan kedudukan menjadi 6-1 selepas menumpaskan Yap Rui Chen 3-0 (11-8, 11-4, 11-4).

Dalam acara beregu lelaki pula, Bandar Maharani BC bangkit menerusi gandingan Mohd Razlan Shah- Yap Roy King yang menang 3-0 (11-8 11-10 11-4) ke atas gandingan Choo Kai Qing- Ong Wei Khoon sekali gus merapatkan kedudukan kepada 6-4.

Serdang BC mengesahkan kemenangan mereka ke atas Bandar Maharani BC apabila terus menang 3-0 (11-8, 11-7, 11-9) dalam acara beregu campuran menerusi Liu Lin- Yap Qar Siong yang menewaskan Lee Zhi Qing-Wong Tien Ci. 

Serdang BC turut mendapat kemenangan percuma 3-0 dalam perseorangan lelaki selepas pemain Bandar Maharani BC, Lim Chong King gagal diturunkan untuk beraksi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 12:08 AM