PEMAIN Australia meraikan kejayaan menewaskan Palestin 3-0. FOTO/AFP
AFP

DUBAI: Juara bertahan, Australia yang tewas mengejut pada aksi pembukaan bangkit bergaya menewaskan Palestin 3-0 sebentar tadi sekali gus menghidupkan kembali peluang mara ke peringkat 16 terakhir Piala Asia.

Jaringan penyerang kelab Hibernia Jamie Maclaren, Awer Mabil dan pemain gantian Apostolos Giannou meletakkan Socceroos di tangga kedua Kumpulan B dengan baki satu perlawanan.

Australia menentang Syria dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Selasa ini dengan penuh yakin selepas mereka pantas menghapuskan kekecewaan dikejutkan Jodan 1-0.

Jurulatih Graham Arnold menyisihkan Massimo Luongo dan Robbie Kruse yang kurang menjadi dan menyenaraikan Jackson Irvine dan Chris Ikonomidis yang menampilkan aksi mantap sebagai pemain gantian ketika menentang Jordan.

Hasilnya prestasi mereka lebih dinamik dan menembusi gawang lawan pada minit ke-18 apabila hantaran pemain Celtic, Tom Rogic ditanduk masuk Maclaren untuk gol antarabangsa pertamanya.

Dua minit kemudian Australia menambah jaringan selepas Mabil yang tidak dikawal menolak bola masuk selepas menerima hantaran jauh Ikonomidis.

Penyerang gantian Giannou yang menyertai Socceroos pada saat akhir selepas pemain kelahiran Scotland, Martin Boyle mengalami kecederaan menanduk masuk gol ketiga pada lewat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 12:03 AM