SYAZWAN (tengah) sudah menghantar surat kepada ketua jurulatih, Yusri Che Lah pada 9 Januari lalu. FOTO/NSTP
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Syazwan Andik Ishak yang didakwa ‘mungkir janji’ menegaskan kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA)  sudah tamat selepas majikannya itu gagal membayar gaji dua bulan pada November dan Disember lalu.

Malah, pertahanan skuad kebangsaan itu menegaskan sudah memaklumkan mengenai hasratnya untuk menamatkan kontrak kepada KLFA menerusi emel dan surat kepada ketua jurulatih The City Boys, Yusri Che Lah 9 Januari lalu.

“Terdapat satu syarat dalam kontrak saya dengan KLFA yang membenarkan saya menamatkan kontrak jika saya tidak menerima gaji untuk dua bulan.

“Saya sudah memberi surat kepada ketua jurulatih, Yusri Che Lah pada 9 Januari dan memberitahunya tentang hasrat saya untuk menamatkan kontrak.

“Saya juga sudah menghantar emel kepada KLFA untuk menamatkan kontrak atas sebab tidak menerima gaji,” katanya.

Pemain berusia 22 tahun berkenaan tampil membuat kenyataan itu selepas Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa kecewa dengan tindakannya yang didakwa meninggalkan pasukan tidak sampai sebulan sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula 1 Februari ini.

Nokman menjelaskan selepas Syazwan kembali daripada tugasan bersama skuad kebangsaan, KLFA dan pemain itu sudah mengadakan perbincangan berhubung soal gajinya dan dia sudah bersetuju secara lisan untuk melanjutkan kontraknya.

Bagaimanapun, KLFA terkejut apabila mendapat tahu dia dijangka menyertai juara Liga Super lima kali, Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas bek kiri itu dikaitkan dengan perpindahan ke Melaka United (MU).

“Dia buat kami terperangkap dan cara dia melakukannya sangat tidak beretika kerana kami sudah mencapai persetujuan lisan,” kata Nokman.

Terdahulu, Selangor menyatakan minat terhadap Syazwan sebelum MU turut mengakui mereka mahukan khidmat bekas pemain Johor Darul Ta'zim II (JDTII) itu.

Namun, pemain itu dikhabarkan akan menyertai JDT dengan dia dipercayai sudah berada di Johor selepas mengemukakan surat untuk menyatakan perpindahan kepada KLFA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 8:53 PM