KEVIN mengakui ada kekurangan membabitkan pengeluaran jadual. FOTO/NSTP
Farah Azharie
farahazharie@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akhirnya mengeluarkan jadual Liga Malaysia (Liga M) dalam tempoh kurang sebulan sebelum musim 2019 membuka tirainya,1 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam mengakui ada kekurangan membabitkan pengeluaran jadual itu dan beberapa faktor turut diambil kira termasuklah Liga Juara Juara Asia (ACL), Kelayakan Piala Dunia 2022, Kelayakan Kejuaraan Bawah 23 tahun (B-23) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Sukan SEA 2019 dan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi skuad kebangsaan.

"Kami baru sahaja menerima keputusan daripada pasukan yang dipromosi dan kami hanya dapat menyusun jadual selepas keputusan dibuat seperti perkongsian stadium dan sebagainya.

"Jadual untuk musim depan akan dikeluarkan pada November dan bagi membolehkan ia dilaksanakan, setiap pasukan perlu mengesahkan gelanggang rasmi dalam pelesenan kelab pada 30 Jun kerana lebih awal kami mendapat maklumat, lebih awal jadual boleh dikeluarkan," katanya.

Saingan Liga Super dan Liga Perdana menyaksikan 12 pasukan bersaing dalam 22 perlawanan (11 di laman sendiri dan 11 di laman lawan) bermula Februari hingga Julai dengan tiga perlawanan berlangsung pada bulan Ramadan dan juga aksi suku akhir Piala FA.

Antara perkara lain yang turut dipertimbangkan adalah membabitkan tempoh rehat di mana setiap pasukan mendapat waktu rehat sekurang-kurangnya dua hari.

MFL turut mengesahkan dua pasukan Liga Super iaitu Selangor dan PKNS FC berkongsi venue sama di Stadium Shah Alam sementara Kuala Lumpur dan UKM FC akan beraksi di Stadium Bolasepak Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Terengganu FC (TFC) dan Terengganu FC II (TFCII) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Bagaimanapun, ada beberapa venue yang masih menunggu kelulusan daripada badan pengelola liga itu selepas tidak menepati syarat yang diperlukan seperti pencahayaan lampu limpah kurang 1,200 lux, kerja membaik pulih dan menaik taraf lampu limpah.

Dua pasukan Liga Perdana, PDRM dan Selangor United akan beraksi pada sebelah petang.

Dalam perkembangan lain, saingan Piala FAM yang dijenamakan semula kepada M3 dengan format kalah mati akan bermula pada Mac.

"Kami sudah menghantar surat kepada pasukan yang layak dan penerangan akan diberikan awal Februari sebelum sepak mula pada Mac.

"Kita menghantar sebanyak 19 surat, jadi kami mengharapkan pengesahan setiap pasukan dapat dibuat pada minggu pertama bulan depan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 8:35 PM