PKNP gagal lengkapkan 20 pemain. FOTO/NSTP
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan pasukan Liga Super, PKNP FC dan wakil Liga Perdana, Sarawak gagal mendaftarkan senarai wajib 20 pemain pada pendaftaran awal Liga Malaysia (Liga M) yang berakhir, semalam.

Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd mengesahkan perkara berkenaan selepas semakan dilakukan unit pertandingan badan pengelola Liga M itu.

“Berdasarkan semakan unit pertandingan mendapati PKNP belum mendapatkan perjanjian sementara (membabitkan) dua pemain dari Perak.

“Jadi, sekarang ini PKNP hanya mendaftarkan 18 pemain yang mana sepatutnya wajib mendaftar 20 pemain pada pendaftaran awal ini.

"Bagi Liga Perdana, pasukan Sarawak hanya menghantar pendaftaran 15 pemain dan ada baki lima pemain masih belum didaftarkan.

“Kita membuat semakan dan buat masa ini maklumat yang diterima dari Sarawak mengatakan beberapa dokumen pemain masih tidak lengkap,” katanya.

Dalam perkembangan sama, MFL berharap insiden ini tidak akan berulang di masa akan datang selepas setiap pasukan yang bertanding sudah diberikan butiran terperinci sebelum ini.

Kegagalan PKNP dan Sarawak mematuhi syarat mendaftarkan 20 pemain itu akan dibawa ke pengetahuan ahli lembaga pengarah MFL bagi membincangkan hukuman yang sesuai untuk diberikan.

“Ini satu perkara yang serius kerana MFL sudah memaklumkan perkara ini lebih awal dan kita bertemu dengan setiap pasukan, mengadakan taklimat, tetapi malangnya perkara ini masih berlaku,” jelas Shazli.

Kesemua 24 pasukan Liga Super dan Liga Perdana wajib mendaftarkan 20 pemain, semalam manakala senarai lengkap 30 pemain pada 20 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 7:23 PM