(Dari kiri) Aidil Sharin Sahak, Baddrol, Anas Hafiz dan Nazirul Naim serta Durakovic bersama Perisai 'Unity Shield edisi sulung yang menjadi rebutan Kedah dan Perak Ahad ini. FOTO STR/IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


ALOR SETAR: Kedah bakal menguji kekuatan juara Piala Malaysia, Perak dalam perhitungan memburu gelaran sulung kejuaraan Unity Shield di Stadium Darul Aman (SDA), Ahad ini.

Kejuaraan tahunan yang diilhamkan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir itu bertujuan mengeratkan hubungan dua kelab berkenaan dan berlangsung mengikut giliran, sama ada di Alor Setar atau Ipoh.

Sebanyak 50 peratus hasil jualan tiket perlawanan akan disumbangkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) terpilih di Kedah, yang akan diputuskan oleh Menteri Besar Kedah merangkap Presiden KFA.

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak yang pertama kali mengemudi skuad Helang Merah memburu trofi musim ini, mahukan pemainnya mencipta sejarah menggenggam kejuaraan sulung di laman sendiri.

"Saya harap pemain dapat memberi aksi terbaik mereka untuk penyokong Kedah. Ini juga persiapan membentuk pasukan untuk musim ini dan tentunya kami mengharapkan satu persembahan serta keputusan yang baik pada Ahad ini.

"Berdasarkan aksi pra musim setakat ini, kami meraih keputusan yang baik. Keserasian pemain juga berada pada tahap yang diharapkan, jadi kita harus ambil peluang ini untuk mengatasi Perak,” katanya pada sidang media, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustafa; kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar dan kapten Perak, Nazirul Naim Che Hashim.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic yang menghargai jemputan KFA menyifatkan perlawanan itu sebagai inisiatif yang cukup baik bagi tujuan amal.

"Kami pastinya akan memberi aksi terbaik, walaupun ada beberapa pemain belum pulih daripada kecederaan. Kami mengharapkan penyokong kedua-dua pasukan tidak melepaskan peluang menyaksikan perlawanan menarik ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 6:11 PM