POGBA (kanan) berlatih dengan Juan Mata di Dubai. - Foto Twitter Manchester United
AFP

MANCHESTER, England: Paul Pogba kembali cergas untuk menyertai Manchester United bertemu Tottenham pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi Isnin ini, menurut pengendali sementara kelab itu Ole Gunnar Solskjaer.

Pemain tengah Perancis itu kembali berlatih bersama rakan sepasukan di kem latihan di Dubai minggu ini selepas pulih daripada kecederaan ketika menang 2-0 ke atas Newcastle, 2 Januari lalu.

Pogba turut terlepas aksi Piala FA Sabtu lalu apabila United menewaskan Reading 2-0, tetapi mula berlatih di Emiriah Arab Bersatu.

“Dia nampak bagus, jadi dia akan kembali cergas. Dia masih mempunyai beberapa masalah tapi dalam beberapa sesi terakhir nampak semakin baik, dia akan kembali cergas,” kata Solskjaer.

Solskjaer mengharungi permulaan sempurna sebagai pengendali United sejak menggantikan Jose Mourinho yang dipecat pada 19 Disember lalu, memenangi semua lima perlawanan setakat ini.

Bekas penyerang United dari Norway itu, yang dipinjamkan oleh kelab negara asalnya Molde hingga akhir musim ini, menjelaskan beliau berminat untuk mengisi jawatan di Old Trafford secara tetap.

Bagaimanapun, lawannya hujung minggu ini, pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino muncul antara calon utama yang dikaitkan dengan jawatan ditinggalkan Mourinho itu.

Namun Solskjaer menepis dakwaan mengatakan pertemuan dengan Spurs adalah cabaran sebenar pertama sepanjang beliau mengendali United, susulan kemenangan ke atas Cardiff, Huddersfield, Bournemouth, Newcastle dan Reading.

“Kami sudah diuji. Bertandang ke Newcastle satu cabaran dan perlawanan pertama juga ujian terhadap reaksi setiap pemain. Perlawanan pertama di laman sendiri juga satu ujian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 8:24 AM