NAIB Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Yusuri Yusof. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menyifatkan sudah mendapat gambaran baharu dalam isu perpindahan Akhyar Rashid selepas mendapat penerangan terperinci daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam.

Bagaimanapun, Naib Presiden KFA, Mohd Yusuri Yusof enggan mengulas lanjut mengenai isu Akhyar, sebaliknya mahu mengadakan perbincangan semula dengan pihak pengurusan tertinggi KFA berhubung status bekas pemainnya.

Difahamkan, petunjuk terbaru itu adalah berkenaan kewujudan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Kuala Lumpur yang boleh dibicarakan mengenai kes Akhyar daripada mengheret isu berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland.

"Apabila menyentuh tentang perlembagaan MFL, secara tak langsung perkara itu terkeluar (isu Akhyar). Walaupun kita tak bincang secara khusus mengenai apa tindakan nak dibuat atau apakah perancangan selanjutnya, kita (KFA) tetap tertakluk kepada perlembagaan.

"Maknanya ada kaedah-kaedah tertentu yang boleh diambil apabila berlaku pertikaian. Saya akan bawa hal ini ke pengetahuan pihak kepimpinan tertinggi KFA untuk melihat langkah seterusnya yang boleh diambil," katanya ketika ditemui di Pejabat MFL, di sini, hari ini.

Terdahulu, KFA bersedia untuk mengheret isu perebutan pemain mudanya, Akhyar dan kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) ke CAS selepas tidak berpuas hati dengan proses perpindahan pemain itu.

Bagi menjernihkan keadaan, MFL menjemput KFA bagi menyelesaikan kemelut antara kedua-dua pasukan khususnya dalam memahami isi kandungan perjanjian dan undang-undang sedia ada yang diguna pakai ketika ini.

Dalam perkembangan sama, Yusuri mengakui pertemuan selama sejam itu juga menyaksikan banyak maklumat positif diterima terutamanya berkaitan dengan peranan MFL sebagai rakan kongsi selain perlembagaan badan pentadbir liga tempatan itu.

“Kita juga diceritakan tentang jadual perlawanan dan ia akan memudahkan persiapan pasukan di Liga-M ini lebih awal iaitu jadual perlawanan bagi musim 2020 dan 2021 (akan diberikan kepada setiap pasukan).

“Di samping itu kita juga mendapat penjelasan tentang ejen pemain yang berdaftar dan tidak berdaftar selain kontrak pemain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 7:33 PM