MEHMET berasa cukup dengan menggunakan empat pemain import. FOTO/NSTP
Shamsul Kamal Amarudin
shaka@nstp.com.my


IPOH: Perak mengesahkan hanya menggunakan empat pemain import berbanding kuota lima pemain, bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.

Skuad The Bos Gaurus (TBG) mengekalkan Leandro Dos Santos, Wander Luiz dan Gilmar Jose Da Silva yang cemerlang pada musim lalu dan mengikat kontrak setahun bekas pertahanan PKNS FC kelahiran Australia, Zac Anderson.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), menggugurkan penyerang Filipina, Misagh Bahadoran serta pemain pertahanan dari Lubnan, Jad Noureddine, yang tidak menunjukkan prestasi baik musim lalu.

Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengesahkan sudah menghantar senarai mininum 20 pemain kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), sebelum tarikh tutup pendaftaran.

"Setakat ini, tiada maklumat import kelima, mengikut perbincangan (dengan jurulatih, Mehmet Durakovic), kita gembira dengan skuad yang ada.

"Jadi, untuk itu (pemain import) kita dah cukup dan Perak juga ada pemain muda yang boleh diketengahkan untuk tempoh lebih lama," katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu Perakfm di sini, hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar juga akan berjumpa dengan pemain PKNP FC - anggota skuad Harimau Malaya, Shahrel Fikri Md Fauzi, bagi berbincang mengenai masa depannya, khususnya bersama TBG.

"Belum jumpa dia (Shahrel Fikri)....bukan semata-mata untuk menguatkan pasukan Perak, tetapi untuk berbincang bagaimana saya, PAFA atau kerajaan negeri boleh membantu kariernya.

"Kita perlu memikirkan masa depan pemain, saya suka jumpa pemain muda, mereka mesti ada perancangan. Tugas kami ialah perlu dekati pemain supaya mereka dapat merencana karier sehinggalah selepas bersara.

"Jangan fikir apabila jumpa mereka semata-mata kita tarik pemain untuk menguatkan pasukan, tetapi pastikan mereka ada karier. Jangan habis kontrak, kita tinggalkan mereka begitu sahaja, itu tidak betul," katanya.

Mengenai bajet PAFA, Ahmad Faizal berkata, mereka memerlukan kos minimum RM30 juta untuk pengurusan TBG dan PKNP FC, termasuk untuk saingan sehingga ke pentas akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Tegasnya, PAFA dijangka tidak menghadapi masalah kewangan walaupun Lembaga Air Perak (LAP) mengurangkan tajaan kepada TBG.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 4:46 PM