PEMAIN Chelsea, Morata (tengah) dan Fabregas ketika aksi menentang Nottingham Forest. FOTO Reuters
AFP

LONDON: Chelsea menang mudah 2-0 ke atas Nottingham Forest awal pagi tadi, namun kemaraan ke pusingan keempat Piala FA itu lebih dibayangi isu perpindahan keluar Alvaro Morata dan Cesc Fabregas.

Morata meledak dua gol sekaligus menyaksikan dia kembali menemui sentuhan jaringan dan penampilan Fabregas pula dianggap sebagai perlawanan terakhir di Stamford Bridge dan bola sepak England.

Fabregas, yang memakai lilitan kapten di lengan dikatakan menitiskan air mata kerana terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong selepas gagal meraih tempat dalam kesebelasan utama Chelsea musim ini.

Dia gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-30 apabila sepakannya diselamatkan Luke Steele.

Namun dua gol dalam tempoh 10 minit pada babak kedua menerusi jaringan Morata sudah cukup mengesahkan kemaraan Chelsea ke pusingan seterusnya dalam kejohanan berprestij itu.

Jurulatih Chelsea, Carlo Cudicini, yang mengambil alih sesi sidang media menggantikan pengurus, Mauricio Sarri, mengakui dia tidak tahu sama ada perlawanan itu adalah yang terakhir buat Fabregas bersama Blues.

"Secara peribadi, saya tidak tahu," katanya.

"Dia (Fabregas) adalah pemain yang hebat untuk pasukan yang pernah diwakilinya sebelum ini. Sumbangannya untuk kelab ini dan pasukan memang menakjubkan.

“Cesc sentiasa berada di atas, (sebagai) pemain utama,"

Kedua dua pemain ini (Morata dan Fabregas) dikatakan akan dijual pada perpindahan Januari, dengan maklumat terkini mendakwa Fabregas akan menyertai bekas rakan sepasukan di Arsenal, Thierry Henry.

Henry yang juga legenda Arsenal, kini dilantik sebagai pengurus Monaco.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 8:30 AM