JUAN MARTIN DEL POTRO

BUENOS AIRES: Pemain nombor lima dunia, Juan Martin del Potro menyatakan dia tidak dapat beraksi pada Terbuka Australia dalam tempoh dua minggu kerana masih belum pulih daripada kecederaan lutut dialami Oktober lalu.

Menerusi kenyataan di Twitter, pemain Argentina itu berkata: “Proses pemulihan amat hebat dan saya akan beritahu kemudian bila saya akan kembali. Malangnya ia tidak berlaku di Australia.”

Pemain berusia 30 tahun yang sering dilanda kecederaan itu tersingkir daripada Masters Shanghai dua bulan lalu selepas terjatuh dan doktor mengesahkan tulang ‘patella’ di lutut kanannya patah.

Sejak menang Terbuka Amerika Syarikat 2009 ketika berusia 20 tahun, Del Potro sering dibelenggu masalah fizikal, termasuk kecederaan pergelangan tangan yang memerlukan empat pembedahan.

Namun 2018 menyaksikan dia kembali daripada pemain di kedudukan 581 dunia pada 2015.

Dia menewaskan bintang Switzerland, Roger Federer pada final Masters Indian Wells pada Mac dan pada September dia mara ke final kedua Grand Slam, tetapi tewas dalam tiga set kepada pemain nombor satu dunia Novak Djokovic di Terbuka AS.

Dia juga menduduki ranking tertinggi karier di kedudukan ketiga pada Ogos.

Ketika dia menyatakan dalam Twitter bahawa dia “merindui” Terbuka Australia, dia turut menegaskan “gembira dengan pemulihan dilaluinya.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 10:03 AM