BEKAS pemain Kedah, Mohd Farouk Ismail. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


ALOR SETAR: Bekas pemain Kedah, Mohd Farouk Ismail berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) segera menyelesaikan isu perebutan pemain muda Akhyar Rashid membabitkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Faraok yang juga Penolong Setiausaha Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kedah (KEFA) berkata, kemelut yang berlarutan sejak sebulan lalu itu berisiko menjejaskan identiti Liga Malaysia.

Katanya, ia turut mencipta tanggapan negatif penyokong selepas Penyerang Terbaik Kebangsaan 2018 itu didakwa disunting 'ikut pintu belakang’ oleh JDT sekaligus memberi persepsi tidak baik terhadap industri bola sepak negara.

"Bagi saya FAM perlu lekas menangani isu ini memandangkan KFA bertegas ingin menuntut haknya dan ia membuatkan ramai penyokong rasa meluat dan marah kerana sehingga ini belum ada jawapan.

"KFA ada alasan tersendiri jika mahu membawa kes ini ke muka pengadilan kerana mereka memiliki hak dari segi kontrak. Sekiranya tiada penebusan kontrak dilakukan oleh pihak pemain, jadi dalam konteks ini, kontrak Akhyar masih berjalan sehingga 2019.

"Sebagai majikan, KFA masih memegang sijil perpindahan pemain ini dan jika  mereka tak lepaskan sijil itu, Akhyar pun tak boleh main," katanya.

Dalam perkembangan sebelum ini KFA bertegas mahu membawa kes berkaitan Akhyar ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas Setiausaha Kehormatnya, Mohd Asmirul Anuar Aris merasakan FAM tidak berlaku adil.

"Sebelum perkara ini berlarutan hingga ke peringkat lebih tinggi, ada baiknya FAM dan KFA mencari penyelesaian yang sewajarnya demi kebaikan semua pihak yang terbabit," katanya.

Begitupun sejurus KFA menyuarakan hasrat mahu memanjangkan isu berkenaan, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam tampil menjelaskan pihaknya terbuka dan sedia berbincang dengan badan induk negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 7:21 PM