TOTO WOLFF
Agensi

LONDON: Bos Mercedes, Toto Wolff mengakui masih ‘terasa perit’ apabila mengingati semula tindakannya mengarahkan Valtteri Bottas memberi laluan kepada Lewis Hamilton memenangi Grand Prix Russia, September lalu.

Keputusan itu hadir hanya di pertengahan perlumbaan, selepas Bottas bermula daripada petak utama dan memimpin sebahagian besar perlumbaan sehingga ke detik terbabit.

Bagaimanapun, untuk mengukuhkan peluang pasukan itu memenangi kategori pelumba, pelumba dari Finland itu diminta membenarkan Hamilton memotongnya untuk menyambar kemenangan.

“Kami perlu menurut perintah pasukan,” kata Wolff. “Ia perlumbaan yang bakal dimenangi Valtteri dan untuk memastikan Lewis mendapat mata sebanyak mungkin, kami menyampaikan arahan itu.

“Ia bukan perkara yang disukai, anda boleh melihat wajah pasukan tidak gembira dengan situasi ini termasuk saya, ia melanggar prinsip pasukan kami yang mana ‘hanya lelaki terbaik yang menang’.”

Prinsipal Mercedes dari Australia itu mengakui bahawa situasi itu amat perit untuk ditelan, tetapi ia terpaksa demi melebarkan jarak mata dengan pencabar terdekat Ferrari.

“Saat Valtteri memberi laluan, ia amat menyakitkan hati saat dan saya turut merasai buatnya kerana saya rasa bersalah terhadapnya,” katanya.

“Tetapi sukan ini kadang kala boleh menjadi kejam dan ia salah satu daripadanya.”

Malah, sikap profesional Bottas terselah lagi apabila sebelum ini pernah mengakui sedia melakukan lagi sekiranya situasi memaksanya.

“Ia sukar untuk diterima, tetapi pada ketika itu - selepas mengambil kira segala-galanya. Saya berlumba untuk pasukan dan bukan saja hari ini, untuk kemudian hari pun saya akan terus berlumba untuk pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 12:11 PM