PENYOKONG Kedah teruja dengan pasukan baru Kedah. FOTO/NSTP
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


ALOR SETAR: Kedah bakal menentang juara Liga 1 Thailand, Buriram United pada siri aksi pramusim di Krabi Central Stadium, Krabi, Thailand bermula 19 Januari depan.

Aksi pertama pramusim itu juga merupakan perlawanan pembukaan 'Royal Trophy From Her Highness Princess Bajrakithibaya'.

Menurut kenyataan dikeluarkan media rasmi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) semalam, Kedah juga bakal beraksi menentang dua lagi pasukan dari Liga Thailand iaitu Krabi FC pada 21 Januari dan diikuti Surat Thani FC pada 23 Januari.

Tiga perlawanan ini merupakan siri perlawanan pramusim Jelajah Krabi 2019 bermula 19 hingga 23 Januari depan.

Sebelum skuad Kedah bertolak ke Krabi, KFA turut mengumumkan empat perlawanan pramusim bermula 4 Januari menentang pasukan tempatan di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM), 9 Januari menentang Kelantan FA, 13 Januari menentang Perak FA di Stadium Darul Aman dan 26 Januari depan menentang pasukan yang akan diumumkan kemudian.

"Perlawanan 26 Januari itu juga merupakan perlawanan terakhir Kedah pada pramusim sebelum bermula aksi Liga Malaysia pada Februari depan. Perlawanan dijangka menjadi tumpuan adalah antara Kedah dan Perak di mana Kedah selaku juara Piala Malaysia 2016 bakal menentang Perak selaku juara Piala Malaysia 2018.

"Perlawanan ini dikenali 'Unity Shield' dan dirancang menjadi acara perlawanan setiap tahun secara bergilir antara kedua-dua pasukan bermula tahun depan."

"Kutipan tiket dalam perlawanan ini, 50 peratus hasilnya akan disumbangkan kepada badan-badan kebajikan yang akan ditentukan kemudian.

"Dalam perkembangan lain KFA juga turut mengumumkan jenama Lotto sebagai penaja pakaian sukan untuk dua musim bagi pasukan Liga Super Kedah dan juga pasukan bola sepak wanita Kedah.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 7:31 PM