MOHAMADOU Sumareh (kanan) ketika perlawanan akhir pertama Piala AFF 2018 di antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Farah Azharie
farahazharie@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Gara-gara kad merah yang boleh dilabel ‘misteri’, penggempur kebangsaan, Mohamadou Sumareh bakal berdepan penggantungan empat perlawanan antarabangsa.

Sumareh dilayangkan kad merah oleh pengadil Iran, Alireza Faghani sejurus sebelum wisel penamat dibunyikan pada final kedua Piala AFF di Stadium MyDinh, Hanoi, 15 Disember lalu.

Apa yang menjadi tanda tanya ialah, ia langsung tidak dilihat penyokong serta pegawai pasukan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula hanya tahu mengenai perkara berkenaan selepas dimaklumkan oleh Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF).

Menurut sumber, jika insiden itu benar-benar berlaku, penyerang Pahang kelahiran Gambia itu bukan saja digantung perlawanan, malah dia juga bakal dikenakan denda yang bukan sedikit.

“Tindakan mungkin diambil terhadap Sumareh kerana kad merah itu. FAM akan membuat rayuan namun Sumareh mungkin tetap didenda dan digantung empat perlawanan,” katanya.

Sumareh dikenakan kad merah oleh Alireza selepas dia didakwa melontarkan kata-kata kesat atau terbabit dengan kekasaran fizikal terhadap pegawai perlawanan.

“Apapun, kesalahan Sumareh itu besar dan sudah tentu mengundang hukuman berat,” kata sumber berkenaan.

Apa yang disaksikan penyokong yang hadir di Hanoi ketika Malaysia tewas dengan agregat 2-3 itu ialah hanya seorang pemain negara, Shahrul Saad diperintahkan keluar padang pada masa kecederaan susulan kad kuning kedua.

Jika apa yang didakwa AFF itu benar, ia bakal menyaksikan pengulangan drama apabila penjaga gol negara, Farizal Marlias dikenakan penggantungan setahun daripada semua pertandingan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tahun lalu.

Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu didapati bersalah kerana mengasari pengadil selepas kelabnya tewas 1-2 pada aksi separuh akhir kedua Piala AFC ketika bertemu Ceres Negros di Filipina, sekali gus tersingkir daripada saingan.

Bukan sekadar penggantungan, malah tindakan agresif Farizal itu menyebabkan dia turut didenda AS$40,000 (RM166,000).

Selain Alireza, pengadil aksi final AFF itu turut membabitkan Reza Sokhandan dan Mohammad Reza Mansouri dari Iran serta Foo Chuan Hui (Singapura).

Penggantungan itu mungkin menyaksikan Sumareh bakal terlepas aksi Pestabola Merdeka pada Mac selepas skuad senior sah menggantikan skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) yang akan mengharungi AFF B23 di Kemboja dan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 3:03 PM