JUAN CUADRADO
AFP

TURIN: Penyerang Juventus, Juan Cuadrado selamat menjalani pembedahan lutut kiri, menurut kelab juara Serie A itu, awal pagi tadi.

“Hari ini, Juan Cuadrado diberikan rawatan ‘artroskopik’ di lutut kiri selepas mengalami kecederaan di bahagian luar meniscus dan patah ‘cartilaginous’,” menurut kelab itu dalam laman web rasmi.

“Pembedahan dilakukan di Barcelona oleh Dr (Ramon) Cugat dan dibantu ketua pegawai perubatan Juventus, Dr Claudio Rigo, ia berlangsung dengan jayanya. Pemain akan memulakan proses pemulihan dalam beberapa hari lagi.”

Cuadrado, 30, mengalami kecederaan itu ketika Juventus tewas 1-2 di tangan kelab Switzerland, Young Boys pada aksi Liga Juara-Juara, 12 Disember lalu.

Cuadrado tampil 16 perlawanan bersama kelab itu musim ini dan menjaringkan satu gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 7:55 AM