BELLAMY (kiri) yakin City mampu pintas Liverpool. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Manchester City masih boleh mempertahankan kejuaraan Liga Perdana sekali pun Liverpool menghuni carta teratas liga ketika ini, kata pemain yang pernah beraksi bersama kedua-dua kelab berkenaan, Craig Bellamy.

City dianggap sebagai calon pilihan selepas menjulang gelaran musim lalu dengan jurang cukup besar, 19 mata di depan pasukan tangga kedua Manchester United.

Begitupun, tiga kekalahan daripada empat perlawanan terakhir menyaksikan mereka kini ketinggalan tujuh mata di belakang skuad kendalian Jurgen Klopp untuk menghuni tangga ketiga liga.

Ketika Liverpool kekal sebagai satu-satunya pasukan yang masih belum kalah dalam aksi liga setakat ini, bekas bintang Reds dan City itu percaya skuad kendalian Pep Guardiola masih mempunyai peluang cerah mengekalkan kejuaraan.

“Saya tidak percaya Liverpool tidak akan dikalahkan, mereka akan kalah satu atau dua perlawanan dan saya secara peribadi berfikir Man City akan memenangi liga,” katanya.

“Saya berfikir Pep Guardiola akan menggosok tangannya dan berkata ‘ayuh bermain, musim lalu kami menang dengan amat selesa, kini ayuh lihat apa yang kami miliki’.

“Mereka mempunyai pengurus yang juga pemenang bersiri jadi mereka mempunyai banyak faktor yang boleh dicontohi. Selepas ketinggalan tujuh mata, terutama ketika Krismas, kamu boleh mendapatkannya kembali. Jangan padam peluang Man City.”

Bellamy yang pernah beraksi bersama Cardiff, Newcastle United dan West Ham juga percaya perkara yang utama adalah bagaimana Liverpool bangkit selepas dipalit kekalahan pertama.

“Bagaimana tindak balas mereka, ia perkara yang penting. Saya masing ingat kehilangan gelaran liga pada hari terakhir di Celtic. Kemudian mengalaminya sekali lagi bersama Cardiff dalam Liga Kejuaraan, ia seperti ‘bertenang, ambil satu perlawanan ke satu perlawanan, menang perlawanan berikutnya dan jangan bimbang mengenai apa yang kami adalah dalam tempoh tiga minggu.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 1:20 AM