LIVERPOOL perlu atasi Arsenal, City untuk tamat penantian 29 tahun. -Foto AFP
AFP

LIVERPOOL, England: Liverpool kini berada di pertengahan jalan untuk menamatkan penantian 29 tahun selaku juara Liga Perdana Inggeris dan tempoh tujuh hari ini menjadi detik penting buat mereka bermula dengan kunjungan Arsenal ke Anfield, awal pagi Ahad ini.

Mereka juga dijadual berkunjung ke Manchester City pada 3 Januari ini yang mungkin memberi bayangan mengenai penentuan gelaran tatkala Liverpool ketika ini mempunyai kelebihan enam mata di puncak liga.

Tottenham pencabar terdekat Liverpool selepas City merudum ke tangga ketiga dan ketinggalan tujuh mata selepas melakar tiga kekalahan dalam empat aksi terakhir liga.

Jumlah itu lebih daripada enam mata yang tercicir oleh Liverpool sepanjang musim setakat ini dengan anak buah Juergen Klopp masih mengekalkan rekod tanpa kalah.

“Apa yang kami katakan, kami mahu mencipta sejarah tersendiri. Kami pasukan pertama Liverpool dalam saingan Liga Perdana yang belum ditewaskan dalam 19 perlawanan... satu sejarah dan satu langkah yang baik,” kata Klopp selepas menewaskan Newcastle 4-0 pada sambutan Boxing Day.

Lebih banyak sejarah bakal tercipta, terutamanya jika Liverpool masih belum dapat ditewaskan pada hujung musim perayaan tahun baharu ini.

“Kami harus memenangi perlawanan, kami perlu fokus, kami perlu berada dalam mood yang dipenuhi visi,” kata Klopp. “Ia amat penting dan kemudian anda akan lihat ke mana hala tuju kami.”

Arsenal salah satu daripada tiga pasukan yang mampu mengikat pendahulu liga itu ketika melakar keputusan seri 1-1 November lalu.

Gunners mempunyai barisan serangan berpotensi seperti pendahulu penjaring terbanyak Liga Perdana, Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette bagi mengucar-ngacirkan benteng Liverpool yang ketika ini hanya dibolosi tujuh gol.

“Ada dua perlawanan sukar ketika ini: Arsenal dan Man City. Kami perlu mengekalkan momentum ini,” kata bintang pertahanan mereka, Dejan Lovren.

“Kami mempunyai karakter besar dalam skuad. Sekiranya anda mahu berada di puncak, anda perlu mempunyai mentaliti menang selain ketenangan.”

City dijadual bertemu Southampton - pasukan yang berada di bawah pengendali baharu Ralph Hasenhuettl - Ahad ini dan bagi Pep Guardiola: “Isu yang kurang penting adalah Liverpool, kami harus memikirkan mengenai Southampton.

“Realitinya kami sudah tewas dalam empat perlawanan dan dua terakhir. Sekiranya anda mahu menjadi pencabar utama, anda harus merakam kemenangan semula. Sekiranya tidak, ia tidak mungkin.”

Bagaimanapun, Guardiola turut memberi peringatan kepada Liverpool mengenai kepayahan membawa nama selaku pilihan utama kejuaraan seperti dialami City tahun lalu.

“Dari Januari, Februari musim lalu orang berkata, ‘Liga Perdana sudah berakhir’. Untuk menyesuaikan diri dengannya bukan satu perkara mudah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 12:57 PM