MESSI (kiri) gembira Neymar dan Guardiola kembali ke Barca. FOTO/AFP
Agensi

LONDON: Lionel Messi mengakui cukup gembira jika Neymar kembali ke pangkuan Barcelona tetapi menegaskan gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) tidak akan melepaskan asetnya itu.

Neymar berpindah ke PSG dari Barcelona dengan perpindahan memecah rekod dunia AS$253 juta (RM1.05 bilion) pada Ogos 2017 selepas menghabiskan empat musim di Nou Camp.

Antara koleksi kejayaan yang dikumpul di Sepanyol ialah dua gelaran La Liga dan satu trofi Liga Juara-Juara dengan tindakannya meninggalkan Barcelona dipercayai adalah untuk keluar daripada bayang-bayang Messi.

Begitupun, timbul spekulasi yang mengatakan bintang Brazil itu berharap untuk pulang ke Barca bersama rakan senegaranya, Arthur yang dikaitkan dengan juara Sepanyol itu, awal musim ini dengan Neymar turut berkata dia ‘berdoa’ khabar angin itu menjadi realiti.

“Saya melihatnya sebagai rumit,” kata Messi. “Kami cukup gembira jika dia kembali atas apa yang dimilikinya, kedua-duanya sebagai pemain dan di bilik persalinan.

“Kami adalah sahabat, kami sudah mengharungi tempoh yang amat bermakna, dan juga kurang menyenangkan, tetapi kami banyak menghabiskan masa bersama-sama.

“Tetapi saya merasakan amat sukar untuk dia meninggalkan Paris. PSG tidak akan membiarkan Neymar dibawa pergi,” kata kapten Barca itu yang turut berharap bekas pengurus, Pep Guardiola kembali mengemudi kelab itu.

Guardiola yang kini mengendalikan juara Inggeris, Manchester City sebelum ini beberapa kali menyuarakan satu-satunya cara beliau kembali ke Barca adalah dengan menjadi jurulatih skuad remaja tetapi Messi mengakui teruja jika beraksi di bawah jurulatih berkenaan sekali lagi.

“Sekalipun ia sukar, saya pasti gembira untuk bekerjasama dengan Guardiola sekali lagi,” katanya. “Beliau antara jurulatih terbaik di dunia. Kerana itu saya gembira jika dia kembali, tetapi saya memberitahu kamu ia adalah rumit.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 9:35 PM