Simone Inzaghi. FOTO Agensi
Reuters

MILAN: Jurulatih Lazio, Simone Inzaghi muncul pemenang pertembungan tepi padang dengan abangnya Filippo apabila pasukannya menang 2-0 di Bologna dalam aksi Serie A Itali, awal pagi hari ini.

Luiz Felipe dan Senad Lulic meledak gol menerusi sepakan sudut pada setiap babak ketika Lazio mengukuhkan kedudukan mereka di tangga keempat, slot terakhir ke Liga Juara-Juara, dengan membuka jurang dua mata di depan Sampdoria.

Kekalahan Bologna mencetus lebih tekanan buat bekas jurulatih AC Milan, Filippo Inzaghi ketika mereka kekal di tangga tiga tercorot dengan 13 mata selepas meneruskan rentetan tanpa menang kepada 11 aksi liga.

Pertahanan Fiorentina, Vitor Hugo tidak mengharungi petang menggembirakan apabila pasukannya tewas 0-1 di laman sendiri kepada Parma, meninggalkan kedua-dua kelab itu di pertengahan liga dengan 25 mata.

Kesilapan pemain Brazil itu membolehkan Roberto Inglese menyumbat gol tunggal pada masa kecederaan babak pertama dan dia dibuang padang pada minit ke-65 kerana menjatuhkan Jonathan Biabiany dalam usaha menghalang serangan balas pantas.

Cagliari (20 mata) keluar daripada zon bahaya apabila gol Diego Farias membantu mereka menang 1-0 ke atas Genoa (19 mata). - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 1:19 PM