PEP GUARDIOLA
Agensi

LONDON: Pep Guardiola mengakui prestasi Manchester City kini sedikit merosot berbanding Liverpool dan Tottenham selepas kekalahan di Leicester City yang menyebabkan mereka tercicir ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.

Kempen mempertahankan kejuaraan City juga semakin tergugat selepas kekalahan 1-2 di Stadium King Power, awal pagi tadi.

Sebelum ini City tewas di laman sendiri kepada Crystal Palace dan dengan dua perlawanan berturut-turut tanpa sebarang mata melebarkan jurang antara anak buah Guardiola dengan pendahulu, Liverpool kepada tujuh mata dan satu di belakang Spurs yang mengambil alih tangga kedua selepas menewaskan Bournemouth.

City yang berada di depan hasil jaringan Bernardo Silva menyaksikan Marc Albrighton pantas menyamakan kedudukan sebelum rembatan Ricardo Pereira pada minit ke-82 memberikan kemenangan buat Leicester.

Dengan Liverpool kekal di puncak liga selepas membenam Newcastle di Anfield, malang bertimpa buat City apabila Fabian Deplh dilayangkan kad merah pada minit terakhir.

“Kami tidak cukup kuat untuk mencipta lebih banyak peluang. Kami perlu mencari jalan penyelesaian,” kata Guardiola.

“Fernandinho tidak dapat bermain, dia cedera, kami perlu mengatasinya. Ilkay Gundogan mengawal bola dengan baik, dia beraksi cemerlang.

“Liverpool dan Tottenham berhak berada di atas, jika mereka menang dan kami tidak, jurangnya makin besar. Tahun lalu kami mempunyai jurang yang besar, musim ini Liverpool dan Tottenham pula yang sangat bagus.

“Kami sudah menamatkan babak pertama musim ini, kami mempunyai cukup mata untuk menjadi juara tapi pasukan lain mengumpul lebih banyak, mereka lebih baik berbanding kami ketika ini.

“Bola sepak sangat menarik, sukar diduga. Ramai yang kata apa yang kami lakukan musim lalu sangat mudah, sebenarnya ia amat sukar.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 12:21 PM