BUDA kini mempunyai banyak masa untuk berlatih. FOTO/NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Walaupun gagal bergelar juara dalam tempoh lima tahun, atlet bina badan negara, Buda Anchah tidak pernah berputus asa, jauh sekali memikirkan mahu bersara kerana dia cukup yakin detiknya akan tiba.

Baginya, edisi 2018 yang bakal menutup tirainya seminggu lagi memang dianggap sebagai musim penuh gemilang buat dirinya, selepas menamatkan penyeksaan lima tahun itu dengan kejayaan meraih kembali gelaran Mr Universe.

Lebih bermakna, ia hadir bersama dengan pencapaian cemerlang skuad bina badan yang membawa pulang empat emas, satu perak dan dua gangsa dari Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia 2018 di Chiang Mai, Thailand yang berlangsung awal bulan ini.

"Kali terakhir saya meraih emas adalah pada edisi 2013 di Hungary, jadi ia adalah sesuatu yang membanggakan. Setiap tahun saya menyertai kejohanan, namun sekadar meraih perak dan gangsa.

"Namun pada edisi 2018, saya meraih gelaran buat kali kedua. Mungkin ia disebabkan saya sudah bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan mempunyai lebih banyak masa untuk berlatih.

“Fokus yang lebih dapat diberikan dalam memastikan saya bersedia sepenuhnya menghadapi kejohanan ini.

"Malah persiapan berjalan lancar di Sarawak kerana mendapat bantuan dan sokongan kewangan yang mencukupi di sana," jelasnya.

Atlet berusia 46 tahun itu menjuarai kategori masters selain meraih perak dalam 70kg.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 8:23 PM