BEKAS pemain import Kedah, Liridon Krasniqi. FOTO NSTP
Suzalina Halid
suzalina@nstp.com.my


ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menegaskan tidak akan membuat pusingan U dengan mendapatkan semula khidmat bekas pemain import, Liridon Krasniqi semata-mata mahu membantunya menjadi pemain naturalisasi Harimau Malaya.

Setiausaha Kehormatnya, Asmirul Anuar Aris, berkata KFA tidak bercadang untuk menggunakan khidmat pemain yang membabitkan kos tinggi kerana apa yang lebih penting ialah memiliki barisan pemain yang mampu beraksi dengan baik meskipun mereka adalah muka baharu.

"Kita sememangnya tidak menyambung kontrak bersama Liridon dan ia adalah keputusan muktamad.

"Ini kerana kita melihat daripada keadaan kewangan KFA yang mana kita tidak mahu pengurusan kos menjadi terlalu tinggi (jika mendapatkan khidmat Liridon).

"Kita lebih cenderung untuk fokus kepada pemain yang boleh bermain dengan baik dan tahap profesionalisme yang tinggi. Itu lebih penting," katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaporkan meletakkan Liridon dalam senarai sebagai pemain naturalisasi sekali gus membolehkan pemain yang terkenal dengan julukan Mat Don itu menyarung jersi skuad kebangsaan.

Namun, terdapat halangan untuk menjadikan Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua Harimau Malaya selepas Mohamadou Sumareh kerana khidmatnya tidak dikekalkan oleh Kedah untuk musim depan kerana mengikut peraturan dia yang sudah beraksi selama empat musim dengan Helang Merah perlu beraksi satu musim lagi dengan mana-mana pasukan di negara ini bagi melayakkannya menjadi pemain naturalisasi negara.

Pada masa sama, Asmirul Anuar berkata, terpulang kepada mana-mana pasukan lain untuk menggunakan khidmat pemain kelahiran Yugoslavia itu sekali gus membolehkannya menyarung jersi skuad kebangsaan.

Sementara itu, Asmirul Anuar berkata, keputusan rayuan berhubung jumlah pampasan RM75,000 yang ditetapkan Jawatankuasa Status FAM bagi mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat pemain muda Akhyar Rashid akan diputuskan melalui mesyuarat antara KFA dan FAM, esok.

Sebelum ini, KFA mengakui masih belum berpuas hati berkaitan isu pelepasan kontrak Akhyar yang diputuskan FAM sebelum ini dan menganggap ia belum selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 6:25 PM