PEMAIN Real Madrid bergambar bersama trofi Piala Kelab Dunia selepas tewaskan Al Ain 4-1. FOTO EPA
AFP

ABU DHABI: Real Madrid muncul juara Piala Kelab Dunia kali ketiga berturut-turut selepas jaringan menarik Luka Modric dan Sergio Ramos membantu mereka menewaskan pasukan tuan rumah Al Ain 4-1, awal pagi tadi.

Juara Eropah itu yang bergelut dalam La Liga musim ini jelas bukan tandingan Al Ain yang mara ke final selepas mencipta kejutan di separuh akhir menewaskan River Plate.

Gergasi Sepanyol itu kini mencipta rekod dengan merangkul empat trofi Piala Kelab Dunia, mengatasi pencapaian Barcelona.

"Pemain berhak meraikannya. Mereka datang ke sini selepas bekerja keras dan menjulang banyak trofi,” kata jurulatih Real, Santiago Solari.

"Malam ini (awal pagi tadi) mereka menambah koleksi Piala Kelab Dunia, kejayaan besar buat pemain dan kelab.”

Solari yang dibayangi spekulasi masa depannya selepas bekas jurulatih Los Blancos, Jose Mourinho dipecat Manchester United awal minggu ini menamakan skuad terkuat termasuk Modric, Toni Kroos dan Gareth Bale.

Pemenang Ballon d'Or, Modric meletakkan Real di hadapan pada minit ke-14 dan rembatan voli menarik Marcos Llorente melebarkan kedudukan sebelum Ramos menembusi gawang tuan rumah untuk gol ketiga dan Tsukasa Shiotani menjaringkan gol sagu hati tuan rumah.

Jaringan sendiri Yahia Nader pada masa kecederaan membolehkan Real menang selesa sekali gus kemenangan kesebelas dalam 13 perlawanan dan trofi pertama buat Solari sejak dilantik menggantikan Julen Lopetegui yang dipecat Oktober lalu.

"Ini yang kami harapkan, hasil kerja keras setiap minggu,” kata Llorente yang menjaringkan gol pertama peribadi untuk kelab. “Ini adalah jaringan pertama saya bersama skuad senior apatah lagi ia amat bermakna dilakukan pada final.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 12:01 PM