SHAHREL Fikri Md Fauzi. FOTO arkib NSTP
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


PEMAIN skuad Harimau Malaya Shahrel Fikri Md Fauzi, kini dalam dilema sama ada ingin kekal bersama pasukan yang menaikkan namanya, PKNP FC atau menyarung jersi pasukan Perak pada musim depan.

Penyerang yang dipinjamkan untuk beraksi bersama kelab Nakhon Ratchasima dalam liga Thailand pada Jun hingga Oktober lalu mengakui masih belum membuat sebarang keputusan dan berserah pada rezeki untuk bermain dengan pasukan mana.

Shahrel berkata, buat masa ini dia masih sibuk dan bercuti selama dua minggu untuk urusan perkahwinannya, namun jika tiada sebarang keputusan baharu mengenai tawaran daripada pasukan lain, dia yang juga kapten PKNP FC akan memulakan musim 2019 dengan pasukan itu.

"Kontrak saya bersama PKNP FC sehingga tahun 2020 dan memang sekarang ada rundingan dengan pasukan Perak dan saya ada menyatakan niat untuk bermain dengan Perak,” kata Shahrel ketika ditemui di majlis perkahwinannya di Brewster Village, Ipoh, hari ini.


SHAHREL Fikri dengan pasangannya Nur Hazwani. FOTO L Manimaran

"Namun saya perlu hormat pasukan saya ketika ini sebab saya tahu PKNP FC juga memerlukan saya untuk mengharungi musim baru kerana sebelum ini saya berada di liga Thailand dan sudah lama tidak bersama PKNP FC.

"Jadi tahun 2019 saya ingin memulakan musim baharu dengan PKNP FC dan mengenai (tawaran) Perak itu saya tidak boleh cakap lagi kerana memang tiada kata putus antara kedua-dua pasukan."

Shahrel memulakan kariernya dalam bola sepak bersama Perak, tetapi namanya melonjak naik bersama PKNP FC di mana dia menjadi antara tonggak utama yang membantu pasukan itu naik ke Liga Super.

"Rasa sayang itu ada dan saya ingin berterima kasih kepada pengurusan PKNP FC dan jurulatih Abu Bakar Fadzim yang selama ini memberi kepercayaan kepada saya. 

"Ini antara sebab saya tidak tahu ingin memilih dan dalam dilema terutama pengurusan yang jaga saya selama ini dan ambil berat tentang saya. 

"Perak juga satu peluang yang menarik kerana pasukan itu menjuarai Piala Malaysia, jika ada tawaran saya ingin pergi sebab Perak memang pasukan terbaik," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan bermain semula di liga Thailand, Shahrel mengakui terdapat usaha menyambung kontraknya untuk bermain di negara berkenaan namun perkara itu tidak menjadi kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 7:10 PM