NEYMAR
Agensi

PARIS: Jurulatih Paris Saint-Germain Thomas Tuchel berkata, Neymar kembali ke Brazil dengan persetujuannya sekali gus tidak tersenarai menentang Nantes di tempat sendiri dalam aksi Ligue 1, malam ini.

Walaupun mengalami kecederaan, Neymar tetap beraksi beberapa perlawanan sebelum ini termasuk menewaskan Liverpool dan Red Star Belgrade dalam Liga Juara-Juara dan Tuchel berkata, pemain berusia 26 tahun itu kini perlukan rehat dan relaks.

“Neymar pulang ke Brazil dengan kebenaran saya,” katanya dalam sidang akhbar, awal pagi tadi. Kami menanggung risiko ketika dia beraksi menentang Red Star di Belgrade.

“Dia mahu beraksi dalam setiap perlawanan tetapi selepas ini kami perlu lebih berhati-hati dan tidak mengambil mudah dengan kecederaan pemain. Dia perlukan rehat selama dua minggu.”

Sementara itu, pemain tengah Adrien Rabiot, hampir pasti meninggalkan PSG.

Ketika ditanya adakah dengan tidak menurunkan pemain itu ketika menewaskan Marseille pada Oktober lalu menjadi punca pemain itu angkat kaki, Tuchel berkata: “Tiada pergeseran antara kami.”

“Keputusan mengenai Kylian [Mbappe] dan Adrien di Marseille memang satu keperluan. Ia adalah perlawanan besar dan Julian [Draxler] beraksi dengan baik. Dia menggunakan kesempatan dengan menunjukkan apa yang boleh dilakukan, jadi tiada kaitan dengan Adrien.

“Adrien hilang keyakinan dan tempatnya kerana Julian beraksi dengan baik. Mengenai Adrien, itu adalah keputusan kelab dan saya menghormatinya.”

Tuchel turut berharap dapat memperkuatkan bahagian tengan pada Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 8:54 AM