HAZARD (kanan) mampu jadi pemain terbaik Chelsea sepanjang zaman. -Foto Reuters
AFP

 

LONDON: Penolong pengurus Chelsea, Gianfranco Zola menggesa Eden Hazard menolak tawaran daripada Real Madrid dan fokus untuk menjadi pemain terbaik The Blues sepanjang zaman.

Hazard dikaitkan dengan perpindahan ke Real sejak beberapa bulan lalu selepas bintang Belgium itu enggan menolak kemungkinan berhijrah ke Santiago Bernabeu dan mengakui bermain bersama gergasi Sepanyol itu disifatkan sebagai impian menjadi kenyataan.

Pemain berusia 27 tahun itu ketika ini mempunyai baki kontrak bersama Chelsea sehingga 2020 dan masih belum mahu memutuskan mengenai masa depannya.

Difahamkan, Chelsea menawarkan Hazard gaji paling tinggi dalam sejarah kelab itu bagi memastikan dia kekal Stamford Bridge.

Namun, menjelang pertembungan dengan Leicester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris, malam esok, Zola meminta untuk Hazard terus kekal  menyarung jersi The Blues.

Zola diundi sebagai pemain terbaik dalam sejarah Chelsea pada 2003 selepas berkhidmat bersama kelab dengan bakatnya sebagai pemain tengah yang berkemahiran tinggi, sama seperti Hazard.

Jurulatih dari Itali itu yang kini bekerja di bawah Maurizio Sarri percaya Hazard mempunyai potensi untuk merampas gelaran itu daripadanya jika terus kekal di Stamford Bridge.

“Dia salah seorang pemain yang memberikan kepuasan kepada kelab ini. Dia berusia 27 tahun dan diharapkan dia kekal bersama kami dan menjadi pemain yang lebih hebat,” kata Zola.

Sejak tiba daripada Lille pada 2012, Hazard membuktikan betapa dia pemain hebat dimiliki Chelsea apabila memainkan watak penting ketika membantu kelab itu meraih gelaran Liga Perdana Inggeris dua kali, menjaringkan gol kemenangan dalam aksi final Piala FA musim lalu selain menjuarai trofi Liga Europa dan Piala Liga.

Selepas prestasi tidak menentu dalam saingan musim lalu selain dilaporkan mempunyai hubungan dingin dengan pengurus, Antonio Conte, pemain tengah berkenaan kembali pada tahap terbaiknya musim ini dengan menjaringkan 10 gol dalam semua kejohanan.

Hazard membuktikan betapa pentingnya dia kepada Chelsea apabila meledak gol kemenangan ketika menewaskan Bournemouth 1-0 dalam aksi suku akhir Piala Liga, awal pagi semalam.

Dia pada awalnya hanya diletakkan di bangku simpanan susulan kecederaan kaki dialaminya tetapi masuk di babak kedua dan menjaringkan gol kemenangan.

“Perbezaannya adalah pertukaran yang kami lakukan. Apabila Pedro dan Hazard masuk, mereka memberi kami kekuatan yang lebih.

“Eden seorang pemain yang mampu memberi impak yang cukup besar apabila dia masuk biarpun berbaki 20 minit,” kata Zola.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 12:37 PM