AKHYAR Rashid. FOTO arkib NSTP
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) masih belum berpuas hati berkaitan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 bagi mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat pemain muda mereka, Akhyar Rashid.

Sehubungan itu, Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris, berkata pihaknya menganggap isu berkenaan masih belum selesai dengan mereka akan mengemukakan rayuan kepada FAM, meminta supaya badan itu menilai semula jumlah yang diputuskan.

"KFA akan membuat rayuan kepada FAM hari ini bagi menjelaskan hasrat sebenar kami. Perkara ini perlu dirundingkan dengan cara terbaik dan KFA sebagai majikan perlu diberi ruang untuk mencapai persetujuan kedua-dua pihak,” katanya.

Pada awal Disember lalu, KFA meluahkan rasa kecewa terhadap jumlah pampasan ditetapkan Jawatankuasa Status FAM yang hanya bernilai RM75,000 sedangkan mereka menganggap Akhyar bernilai lebih daripada itu.

Jumlah berkenaan dipertikaikan KFA yang menganggapnya sebagai tidak 'menang-menang' kepada mereka selaku majikan dan mahukan FAM membuat pertimbangan sewajarnya.

Difahamkan Akhyar masih memiliki kontrak bersama KFA sehingga 2019 dengan nilai baki kontrak atau tebus kontrak sebanyak RM210,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 6:25 PM