ALISTAIR EDWARDS
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menegaskan mereka tidak perlu berhubung dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi mengadakan rundingan dengan bintang meningkat naik, Akhyar Rashid.

Ini memandangkan Akhyar sudahpun berstatus ejen bebas selepas pemain berusia 19 tahun itu menamatkan kontraknya bersama Kedah.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menerusi satu kenyataan di laman sosial Johor Southern Tigers malam tadi menjelaskan pihaknya akan menjelaskan segala bayaran yang diperlukan sekiranya mereka berjaya mencapai persetujuan dengan Akhyar.

“Pampasan yang perlu dibayar oleh JDT kepada Kedah jika Akhyar bersetuju menandatangani bersama JDT ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas rundingan yang dibuat berdasarkan undang-undang bola sepak.

“JDT akan menghormati keputusan ini dan akan membuat bayaran sepatutnya jika kami mencapai perjanjian dengan Akhyar.

“Kami terkejut melihat akaun media sosial milik KFA yang cuba memanipulasi penyokong dengan menyebarkan maklumat kurang tepat berkenaan pengumuman skuad Harimau Selatan sedang berunding dengan Akhyar,” katanya.

FAM sebelum ini mengumumkan Akhyar boleh menebus baki kontraknya selama setahun bernilai RM210,000 kepada KFA bagi membolehkan dia bergelar ejen bebas.

Selepas bergelar ejen bebas, mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmatnya perlu melunaskan RM75,000 kepada KFA sebagai pampasan untuk latihan dan pembangunan.

Bagaimanapun, akaun rasmi KFA malam tadi memaparkan kemaskini dengan dua pautan berita dengan tajuk ‘Jumpa KFA jika mahu Akhyar’ dan ‘Pampasan RM75,000 buat Akhyar tidak sepadan.’

Kemaskini itu dipercayai sebagai kenyataan balas selepas JDT mengumumkan mereka sedang mengadakan rundingan untuk mendapatkan khidmat Akhyar, pagi semalam.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 1:17 PM