AKHYAR RASHID
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) masih belum berpuas hati berkaitan isu pelepasan kontrak pemain muda Akhyar Rashid yang diputuskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini dan menganggap ia belum selesai.

Menurut Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris, pihaknya menganggap proses rundingan berkaitan Akhyar belum menemui noktah. KFA akan mengemukakan rayuan dan mahu FAM melihat serta menilai semula isu yang telah diputuskan.

“Kami masih tak puas hati status Akhyar dan merayu FAM supaya dapat melihat kembali isu ini selanjutnya serta memohon FAM meneliti perkara ini secara keseluruhan.”

“KFA akan mengutuskan surat rayuan kepada FAM hari ni bagi tujuan menjelaskan hasrat sebenar KFA dan selepas itu kita akan tunggu jawapan serta maklum balas daripada FAM seterusnya.”

“Perkara ini perlu dirundingan dengan cara terbaik dan KFA sebagai majikan perlu diberi ruang dalam mengemukakan rayuan seadilnya dalam mencapai persetujuan kedua-dua belah pihak.”

Pada awal Disember lalu, KFA meluahkan kekecewaan terhadap jumlah pampasan ditetapkan Jawatankuasa Status FAM yang hanya bernilai RM75,000 bagi mana mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar.

Jumlah berkenaan telah dipertikaikan KFA sebagai keputusan tidak ‘menang-menang’ kepada mereka selaku majikan dan KFA mahu pihak FAM membuat pertimbangan yang sewajarnya.

Akhyar yang masih memiliki kontrak bersama KFA sehingga 2019 juga berhadapan nilai baki kontrak atau tebus kontrak sebanyak RM210,000 yang juga turut dimaklumkan selepas mesyuarat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 11:36 AM