PEMAIN Strasbourg meraikan kemenangan mereka. -Foto AFP
AFP

PARIS: Marseille terus bergelut dengan prestasi tidak menentu apabila tewas menerusi penentuan sepakan penalti di tangan Strasbourg dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Liga Perancis, awal pagi tadi manakala Monaco mara ke suku akhir sekali gus meredakan tekanan di bahu Thierry Henry.

Selepas kekalahan di Stade Velodrome, anak buah Rudi Garcia kini tewas lapan daripada 11 perlawanan dan menamatkan saingan peringkat kumpulan Liga Europa di tangga tercorot dengan hanya mengumpul satu mata selain jatuh ke tangga keenam Ligue 1.

Jones Martin meletakkan Strabourg di depan pada minit ke-18 tetapi Luis Gustavo berjaya menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki 10 minit sekali gus mengheret aksi sehingga penentuan penalti.

Dimitri Payet dan Adil Rami masing-masing gagal menyempurnakan sepakan penalti buat Marseille sekali gus mengesahkan kemenangan kepada Strasbourg.

“Ya kami tersingkir, sudah pasti kami kecewa dan kami memang tidak berhak untuk mara,” kata Garcia.

Sementara itu, pemain berusia 18 tahun, Guillian Biancone muncul wira Monaco apabila meledak gol kemenangan pasukan itu bagi menewaskan Lorient 1-0 dan layak ke suku akhir.

Lyon turut mengesahkan tempat ke kelompok lapan terbaik apabila menyingkirkan SC Amiens 3-2 dengan Moussa Dembele dan Bertrand Traore masing-masing meledak gol buat pasukan mereka.

Juara bertahan, Paris Saint Germain tidak berdepan masalah menyingkirkan kelab divisyen dua, Orleans 2-1 untuk layak ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 10:36 AM