JOHAN Kamal Hamidon. FOTO arkib NSTP
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Percubaan Geng 52 untuk ‘merampas’ kuasa dalam Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akhirnya gagal selepas keputusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan tidak memihak kepada mereka.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon menerusi satu kenyataan rasmi persatuan itu, hari ini.

Katanya, sekretariat FAS sudah menerima surat daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan bertarikh 17 Disember lalu yang memaklumkan mengenai keputusan mereka terhadap Kongres Luar Biasa (EGM) ‘haram’ yang dilangsungkan Geng 52, awal bulan lalu.

“Surat itu menyatakan mesyuarat yang kononnya EGM pada 8 November lalu sudah melanggar statut dan terdapat beberapa keraguan maka ia tidak teratur dan tidak mengikut proses.

“Presiden, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan barisan Exco berasa amat bersyukur atas perkembangan ini.

“Justeru, kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pesuruhjaya Sukan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menangani isu ini dengan penuh kredibiliti dan profesionalisme,” katanya.

Dengan termeterainya kemelut itu, Johan menegaskan persatuan induk itu kini boleh terus meletakkan tumpuan sepenuhnya terhadap persiapan pasukan bagi menghadapi musim baharu.

“Fokus kami untuk memantapkan serta meningkatkan persiapan bagi musim 2019.

“Kami juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penyokong Red Giants yang memberi sokongan sepenuhnya kepada kami selama ini,” katanya.

Sebagai rekod, Geng 52 mengadakan EGM di Seri Kembangan, 8 November lalu selepas mendakwa mendapat sokongan yang secukupnya daripada ahli gabungan.

Meskipun mereka memilih kembali Tengku Amir Shah untuk terus menerajui FAS, namun beliau tetap tidak mengiktiraf EGM itu kerana didakwa tidak mengikut prosedur serta gagal memenuhi Artikel 30, Statut FAS.

Kemuncaknya, kelompok haluan kiri itu menerima padah selepas FAS memecat 43 ahli gabungan yang tidak sehaluan dengan nilai diri dan impian persatuan itu, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 10:40 PM