PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola. FOTO AFP
AFP

LONDON: Penyandang juara, Manchester City tidak akan mengambil mudah pertemuan suku akhir Piala Liga menentang Leicester City, Rabu ini, kata pengurusnya, Pep Guardiola.

Sekalipun skuad kendaliannya sedang bersaing sengit dengan Liverpool bagi pemburuan trofi Liga Perdana ketika ini, Guardiola berkata satu-satunya cara untuk pasukannya meningkat adalah dengan menjulang trofi meskipun Piala Liga hanya dianggap taraf ketiga di liga Inggeris.

Begitupun, pengendali berusia 47 tahun itu mengakui Liverpool yang tidak lagi bersaing di kejohanan berkenaan boleh memanfaatkan situasi itu ketika City terpaksa mengharungi dua aksi timbal balik separuh akhir pada Januari.

“Kami boleh katakan ya,” kata Guardiola ketika menjawab soalan pada sidang media mengenai sama ada Liverpool mempunyai kelebihan beraksi kurang perlawanan.

“Tetapi saya lebih gemar untuk terbabit dalam Piala Liga berbanding tidak. Saya tidak boleh membayangkan untuk mengharungi perlawanan dan berfikir, Oh, mungkin adalah lebih baik kalah kerana kemudian kami akan memperoleh masa rehat yang lebih.

“Saya tidak pernah berfikir seperti itu. Itu satu-satunya cara kelab seperti Manchester City, yang 10 tahun lalu tidak berada di posisi ini, boleh berkembang dan menjadi lebih baik dan baik. Dan itulah kami perlu lakukan.”

Guardiola berkata pemain yang diturunkan Sabtu lalu ketika menewaskan Everton 3-1 mungkin terpaksa memikul tanggungjawab ketika bertemu Leicester berikutan masalah kecederaan makin menggunung.

Bintang Belgium, Kevin de Bruyne kembali beraksi bertemu Everton sepatutnya boleh bermain selain penyerang Argentina, Sergio Aguero.

“Kami tidak memiliki ramai pemain,” kata Guardiola. “Kami memiliki senarai kecederaan yang panjang. Sesetengah pemain yang bermain pada Sabtu lalu dan perlawanan sebelum ini perlu bermain.

“Ia adalah peluang untuk mara ke separuh akhir dan sejak saya berada di sini, pasukan saya tidak pernah menggugurkan satu pun perlawanan, sekalipun perlawanan persahabatan. Ia adalah kejohanan, ia perlu dihormati, seperti kami lakukan musim lalu. Kami akan cuba untuk memenanginya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 9:25 PM