MILIK legakan skuad Ancelotti. FOTO/AGENSI
AFP

MILAN: Penyerang Poland, Arkadiusz Milik menjaringkan sepakan percuma menarik dalam masa tambahan membolehkan Napoli menewaskan Cagliari 1-0 dengan pasukan Carlo Ancelotti itu kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Juventus dalam aksi Serie A, awal pagi tadi.

Milik menjaringkan gol kemenangan itu pada minit ke-91 di Sardinia menerusi sepakan lencong yang menyebabkan penjaga gol Cagliari Alessio Cragno terpaku depan gawang.

Juara bertahan, Juventus pula menjarakkan diri dengan 11 mata pada Sabtu lalu selepas Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-11nya musim ini menerusi sepakan penalti untuk kemenangan 1-0 ke atas Torino.

Ancelotti melakukan perubahan selepas Napoli terkeluar daripada saingan Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Liverpool sebelum ini tetapi pelawat tetap bermasalah di bahagian serangan.

Milik berpeluang merobek gawang lawan pada minit ke-68 tetapi tandukannya terkena palang dengan Cragno segera menghalang percubaan susulan Kalidou Koulibaly.

“Anfield adalah tamparan besar tetapi pemain kembali bangkit seperti apa saya harapkan daripada mereka,” kata Ancelotti.

“Saya memilih barisan pemain yang segar untuk memberi tenaga sepanjang perlawanan. Ia adalah kejayaan matang dengan penuh kesungguhan, kami sepatutnya dapat menjaringkan gol pertama.”

“Pasukan berada dalam keadaan baik, kami lebih kompetitif dalam saingan liga, seperti di Liga Juara-Juara dan kami mahu berada di Liga Europa dan juga Piala Itali.”

Cagliari kini di kedudukan ke-13 dan mengalami kekalahan pertama di laman sendiri musim ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 12:52 PM