SAFAWI diasak dua pemain Vietnam pada aksi perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, semalam. FOTO Bernama
Farah Azharie
farahazharie@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Safawi Rasid dan Shahrel Fikri Fauzi mengakui masih lagi dihantui kegagalan menjulang trofi Piala AFF susulan gol awal Vietnam yang menyaksikan mereka memenangi final dengan agregat 3-2 di Hanoi, semalam.

Suasana kem skuad negara jelas sekali sugul selepas pemain enggan bercakap dengan media dan apa yang diluahkan Safawi, 21, mereka masih terasa dengan kekalahan itu.

“Pagi ini, saya rasa tidak gembira kerana kami sendiri melihat apa yang berlaku semalam (Sabtu).

“Ia memang sukar untuk ditelan namun keluarga saya ada menghubungi dan memberikan kata-kata semangat untuk menaikkan kembali semangat saya,” katanya.

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang dipilih sebagai pemain terbaik liga tempatan bulan lalu menjaringkan satu gol pada aksi final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sementara itu, bekas penyerang Nakhon Ratchasima, Shahrel berkata, dia berasa kurang selesa pagi ini selepas membayangkan skuad kebangsaan mempamerkan aksi kurang memberangsangkan.

Shahrel, yang menggantikan Akram Mahinan pada minit ke-85, tidak menjaringkan sebarang gol pada kejohanan itu dan beraksi enam daripada lapan perlawanan.

Pemain PKNP FC berusia 24 tahun itu dipantau dua kelab Liga Thailand ketika Piala AFF menegaskan, dia kurang pasti bagaimana untuk menaikkan kembali semangatnya.

“Saya berasa sedih dan tak tahu bagaimana untuk menggembirakan hati saya semula. Kami kalah, saya tidak tahu untuk menjelaskan kerana ia sudah berlaku dan jurulatih (Tan Cheng Hoe) memberitahu kami sudah mencuba yang terbaik,” katanya.

  • Lagi berita Piala AFF
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 7:20 PM